BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Hentikan pembunuhan hidupan liar di jalan raya

bernama-tapir-mati-dilanggar.png
Advertisement

Oleh: Dr Ehwan Ngadi

Acapkali kita disajikan dengan kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan dan hidupan liar yang kerap disiar dan ditularkan baik di media sosial mahupun media arus perdana. Kes-kes kemalangan ini yang berlaku setiap bulan telah mendatangkan pelbagai persepsi mengenai status semasa hidupan liar dan pada masa yang sama menimbulkan persoalan mengapakah hal ini seringkali berlaku?

Pada Oktober tahun lepas, seekor Beruang Matahari dirempuh hingga mati di atas jalan raya. Pada 28 September 2020 pula, dua ekor Tapir Malaya telah dirempuh di dua kawasan yang berbeza iaitu di Dungun, Terengganu dan Felda Kahang Barat, Johor. Dalam kes ini, Tapir Malaya yang dirempuh di Dungun telah mengalami kecederaan parah manakala seekor lagi di Felda Kahang Barat telah ditemui mati.

Advertisement

Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), sebanyak 2,055 ekor hidupan liar telah mati akibat dirempuh dan dilenyek,kenderaan semenjak lima tahun yang lalu. Ini menjelaskan jumlah kes hidupan liar, dirempuh kenderaan adalah amat tinggi.

Daripada jumlah tersebut, Kucing Batu, Kucing Tulap dan Tapir Malaya merupakan spesies yang kerap dilanggar. Ini tidak dikira jumlah hidupan liar yang lain seperti Biawak Air dan juga ular sawa yang acapkali ditemui mati akibat dilenyek kenderaan di atas jalan raya.

Siapakah yang harus dipersalahkan dalam situasi ini?

Advertisement

Kemusnahan habitat

Terdapat beberapa faktor yang dilihat menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes kemalangan ini. Antaranya jumlah pertambahan kenderaan, pergerakan hidupan liar, musim serta perubahan guna tanah. Oleh itu, artikel ini akan mengupas sejauh mana keadaan jalan raya serta sikap pemandu boleh mendorong kepada peningkatan kes kemalangan jalan raya yang melibatkan hidupan liar.

Kedudukan Malaysia yang terletak di garisan Khatulistiwa menjadikan negara ini amat kaya dengan hutan hujan tropika. Sekitar 60 peratus kawasan di Malaysia masih dilitupi dengan hutan yang menghijau serta menjadi habitat utama kepada hidupan liar.

Advertisement

Persekitaran di Malaysia yang kaya dengan kawasan hutan ini menyebabkan banyak jalan raya telah dibina merentasi kawasan ini untuk menghubungkan destinasi-destinasi berhampiran. Pembinaan jalan raya ini juga telah memasuki kawasan keliaran hidupan liar. Kawasan keliaran hidupan liar merupakan kawasan untuk hidupan liar yang bergerak mencari makan, pasangan dan habitat yang sesuai.

Pembinaan jalan raya di atas kawasan keliaran menyebabkan banyak hidupan liar berkeliaran dan melintasi jalan raya. Ini akan meningkatkan kebarangkalian insiden hidupan liar dirempuh oleh kenderaan yang menggunakan jalan raya tersebut. Berkemungkinan juga, bunyi kenderaan yang lalu-lalang di atas jalan raya serta cahaya daripada lampu kenderaan pada waktu malam menimbulkan rasa panik hidupan liar semasa melintas dan akhirnya mengakibatkan kemalangan jalan raya.

Kebanyakan jalan raya yang dibina merentasi kawasan hutan atau berhampiran hutan mempunyai keadaan persekitaran yang gelap dan gelita. Keadaan ini amat berbahaya untuk kenderaan yang melalui kawasan ini. Meskipun pemasangan lampu jalan giat dijalankan terutamanya di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan, lampu-lampu jalan ini seringkali rosak dan tidak berfungsi.

Advertisement

Lampu-lampu jalan ini biasanya dirosakkan oleh kawanan kera yang memanjat dan bergayut di atas lampu jalan. Hal ini mengakibatkan kawasan sekitar jalan raya tersebut tidak diterangi cahaya pada waktu malam. Persekitaran yang gelap ini mampu mengurangkan kadar fokus dan menyukarkan pemanduan. Kesannya, pemandu sukar mengemudi kenderaan untuk mengelak hidupan liar yang melintas di atas jalan raya.

Perkara ini menyebabkan hidupan liar mati dirempuh dan dilenyek. Situasi ini juga boleh berlaku kepada haiwan-haiwan domestik seperti lembu, kerbau dan kambing yang dibiarkan berkeliaran terutamanya di kawasan ladang kelapa sawit dan kampung. Secara tidak langsung, perkara ini boleh membahayakan nyawa pemandu kenderaan serta haiwan tersebut.

Sikap pemandu

Advertisement

Sikap pemandu juga dilihat menjadi faktor penyumbang penting kepada insiden kemalangan yang melibatkan hidupan liar. Kebanyakan jalan raya di kawasan hutan dan berhampiran dengan kawasan ini dibina lurus dan tidak mempunyai lampu jalan. Pada masa yang sama, kawasan ini juga mempunyai kadar aliran trafik yang kurang terutamanya pada waktu malam. Hal ini menyebabkan pemandu memandu kenderaan dengan lebih laju untuk sampai ke destinasi.

Pemanduan yang laju menyukarkan pemandu mengemudi kenderaan dengan baik lebih-lebih lagi apabila terdapat hidupan liar yang melintasi jalan secara tiba-tiba. Natijahnya, berlaku rempuhan akibat kegagalan pemandu memperlahankan kenderaan dan mengelak hidupan liar yang melintasi jalan raya.

Walaupun papan tanda pemberitahuan kawasan lintasan hidupan liar telah banyak dipasang, tanda ini seringkali tidak dipatuhi dan pemandu tidak memperlahankan kenderaan masing-masing.

Advertisement

Tambahan pula, terdapat pemandu yang membuka lampu tinggi dan membunyikan hon apabila terserempak dengan hidupan liar yang cuba melintasi jalan raya. Hal ini telah menimbulkan rasa panik kepada hidupan liar dan cuba melarikan diri dengan berpatah balik secara mengejut biarpun sudah berada di tengah-tengah jalan raya. Situasi panik ini juga boleh meningkatkan kebarangkalian hidupan liar dirempuh kenderaan.

Meskipun kedudukan dan keadaan jalan raya menjadi penyumbang kepada kemalangan yang melibatkan hidupan liar, sikap pemandu juga merupakan faktor penting yang menyumbang kepada masalah ini. Ini kerana, pihak berkuasa seperti KeTSA dan Jabatan PERHILITAN telah banyak menjalankan pelbagai usaha bagi mengurangkan masalah ini seperti pemasangan papan tanda lintasan hidupan liar, pembinaan laluan khas hidupan liar (Viaduct) serta program kesedaran.

Akan tetapi masalah ini seringkali berlarutan dan tidak menunjukkan sebarang pengurangan yang ketara. Malahan, lebih banyak lagi hidupan liar terutamanya spesies yang terancam mati akibat dirempuh dan dilenyek kenderaan. Hal ini jelas menunjukkan sikap pemandu negara ini yang tidak berhemah.

Advertisement

Amal pemanduan berhemah

Seperti yang disarankan oleh Jabatan PERHILITAN, pemanduan yang berhemah adalah memperlahankan kenderaan apabila terdapat papan tanda kawasan lintasan hidupan liar. Pemandu perlu memperlahankan kenderaan bagi membolehkan tumpuan diberikan sepenuhnya apabila terdapat hidupan liar yang melintasi jalan raya. Selain itu, bagi mengelakkan timbul rasa panik hidupan liar, pemandu perlu merendahkan lampu kenderaan masing-masing apabila terserempak dengan hidupan liar yang sedang melintasi jalan raya.

Pada masa yang sama, pemandu tidak disarankan membunyikan hon kenderaan bagi membolehkan hidupan liar melintasi jalan raya dengan tenang. Sekiranya terdapat hidupan liar dirempuh kenderaan di atas jalan raya, Pejabat PERHILITAN berhampiran perlu dihubungi dengan segera. Perkara ini amat penting bagi membolehkan usaha menyelamatkan hidupan liar dapat dilakukan dengan segera.

Advertisement

Anjakan minda dan penguatkuasaan undang-undang

Dalam usaha untuk menyelamatkan hidupan liar terutamanya spesies terancam daripada berdepan dengan ancaman kepupusan, kita perlu mengimbangi usaha-usaha ini serancak dengan program pembangunan yang mampu memajukan negara. Pembangunan yang seimbang serta usaha pemuliharaan yang bersepadu perlu dilaksanakan seiring. Dalam usaha melaksanakan pembangunan yang seimbang dan lestari serta pemuliharaan hidupan liar yang padu, minda masyarakat perlu dididik agar negara kita tidak digelar negara yang mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi mentaliti masyarakat kelas ketiga.

Oleh yang demikian, sebagai masyarakat yang prihatin dalam mengurangkan masalah kemalangan jalan raya yang melibatkan hidupan liar, sikap pemanduan berhemah ini amatlah ditagih. Sekiranya sikap berhemah di atas jalan raya tidak mekar dan subur di dalam jiwa pemandu-pemandu di dalam negara ini, sewajarnya kerajaan perlu lebih tegas terhadap mereka yang menjadi punca kematian hidupan liar ini.

Advertisement

Mungkin juga kerajaan boleh mengenakan hukuman yang setimpal, sama seperti hukuman di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas pemandu yang didapati bersalah memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian.

Dr Ehwan Bin Ngadi merupakan pensyarah di Kolej Genius Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Rencara ini dimuatnaik kali pertama di Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top