BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Demokrasi berparlimen: Jalan keluar untuk krisis negara kita

liew_chin_tong_dap.jpg
Advertisement

Oleh : Liew Chin Tong

Winston Churchill pernah dipetik sebagai berkata bahawa “demokrasi adalah bentuk pemerintahan yang terburuk kecuali jika ia dibandingkan dengan sistem lain yang pernah dicuba.” Hari ini, Malaysia berada di persimpangan di antara dua “sistem yang lain” itu.

Sistem pertama adalah kerajaan darurat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bukan sahaja tidak cekap, malah pemerintahan tidak demokratik versi ini dibelenggu perbalahan dan tiada majoriti di Parlimen.

Advertisement

Seperti yang dilaporkan portal berita The Vibes, pentadbirannya telah menolak titah bertulis Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dipanggil untuk bersidang. Malah menteri yang bertanggungjawab untuk undang-undang dan parlimen, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi gambaran bahawa Seri Paduka Bagindalah yang seharusnya menurut nasihat kerajaan dalam hal lanjutan darurat.

Maksudnya pentadbiran Muhyiddin ingin terus berkuasa melalui perintah darurat. Idea anti demokratik ini harus ditolak dan dikutuk oleh semua pihak.

Sistem kedua adalah cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negara yang mengikut acuan Mageran, badan pentadbiran yang memerintah Malaysia berikutan tragedi 13 Mei 1969 selama hampir dua tahun. Sistem yang dicadangkannya itu adalah seperti kabinet darurat yang dianggotai ahli teknokrat yang tidak dipilih melalui pilihan raya.

Advertisement

Semua rakyat Malaysia yang patriotik perlu menyokong usaha murni untuk menamatkan darurat dan membuka parlimen untuk bersidang secepat mungkin. Rakyat Malaysia harus mencapai kesepakatan untuk memulihkan sistem demokrasi berparlimen dan menolak pemerintahan darurat, sama ada mengikut cara Muhyiddin atau Mahathir.

Sekiranya ahli-ahli politik tidak dapat menunjukkan kepimpinan berwibawa dan berkesan, kita akan membuka pintu kepada golongan autokratik yang cenderung menggunakan jalan pintas untuk “tamatkan” politik. Ini selalunya bermaksud mengetepikan demokrasi dan memulakan pemerintahan darurat.

Jadi, pemimpin politik yang bertanggungjawab perlu bekerjasama dan bertolak ansur untuk memulihkan demokrasi serta mengelakkan sebarang bentuk pemerintahan autokratik. Sekarang kita tahu akibatnya jika kita gagal memecahkan kebuntuan semasa – akan kekal pemerintahan darurat Muhyiddin atau bermula Mageran ala Mahathir.

Advertisement

Formula asasnya adalah kita perlu mencari penyelesaian yang dapat diterima oleh semua untuk menamatkan pemerintahan darurat ala Muhyiddin, menolak cadangan Mageran Mahathir, dan memastikan pilihan raya umum tidak diadakan selagi wabak Covid-19 masih parah manakala ekonomi memerlukan masa untuk pulih.

Kerajaan demokratik seterusnya

Kita mesti memecahkan kebuntuan, dan membentuk kerajaan demokratik yang baharu untuk menggantikan kerajaan sedia ada sehingga pilihan raya seterusnya pada bakal diadakan pada 2023.

Advertisement

Kerajaan baharu ini mesti mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 120 kerusi (daripada 222 kerusi parlimen), dan bukan kerajaan Muhyiddin yang hampir tiada majoriti sehinggakan terpaksa bergantung kepada darurat untuk bertahan.

Untuk mendapat sokongan penuh rakyat, kerajaan demokratik baharu seharusnya mempunyai ciri-ciri asas, prinsip dan nilai berikut:

Demokrasi dan perkongsian saksama perlu menjadi teras kerajaan baharu kerana era parti “abang besar” dalam gabungan politik sudah berakhir. Kerajaan Muhyiddin gagal melayan rakan-rakan sekutunya dengan saksama. Semua pihak harus merunding terma dan syarat mereka secara terperinci sebelum membentuk kerajaan.

Advertisement

Mereka juga harus menerima kenyataan bahawa apa yang kerajaan mampu lakukan terbatas kepada tempoh dua tahun sebelum pilihan raya akan datang. Agenda dasar yang tidak diterima umum menerusi kesepakatan parti-parti perlu dibawa ke penggal berikutnya.

Amalan Perdana Menteri ala “Presiden” tidak sepatutnya diteruskan lagi. Perdana menteri baharu harus berperanan seperti pengerusi lembaga pengarah untuk menyatukan gabungan, bukannya mendominasi parti-parti rakan yang lain. Beliau harus mentadbir bersama dengan sekumpulan pasukan teras menteri-menteri kanan yang terdiri daripada pemimpin tertinggi parti-parti rakan. Pasukan ini perlu membuat keputusan kolektif mengenai isu-isu utama sebelum dibawa ke kabinet dan parlimen.

Kabinet mesti berfungsi sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan secara bersama-sama, dan tidak dikekang oleh pertindihan kuasa atau ego menteri atau kementerian. Anggota teras kabinet, iaitu menteri-menteri kanan yang terdiri daripada para pemimpin tertinggi parti, mesti menerapkan disiplin secara kolektif untuk memastikan kesatuan kabinet.

Advertisement

Parlimen sebagai platform membina kesepakatan nasional dan kerjasama. Pembangkang harus diberikan peruntukan kawasan yang setara dengan anggota parlimen kerajaan. Barisan penyokong kerajaan (backbenchers) dan ahli parlimen pembangkang mesti diberi peluang secukupnya untuk membina hubungan kerjasama dan profesional dengan kementerian melalui jawatankuasa pilihan parlimen yang efektif.

Daripada melantik Ahli Parlimen sebagai pengarah GLC, lebih baik mereka mempengerusikan jawatankuasa parlimen dengan elaun dan kakitangan tambahan yang sama taraf dengan timbalan menteri.

Setelah terbentuknya kerajaan baharu ini, satu undang-undang seperti Akta Parlimen Penggal Tetap (FTPA) 2011 di United Kingdom yang menetapkan tarikh pembubaran parlimen dan pilihan raya boleh digubal. Menurut Perlembagaan Persekutuan kita, penggal parlimen ini akan berakhir pada 16 Julai 2023. Satu penggal yang tetap akan memberikan jangkaan yang jelas kepada semua mengenai apa yang dapat dan tidak dapat dicapai dalam tempoh dua tahun akan datang.

Advertisement

Memulihkan negara

Setelah struktur kerajaan demokratik disepakati dan dilaksanakan, sekaligus menyelamatkan Malaysia daripada kebuntuan dan krisis politik yang berlarutan, serta ancaman pemerintahan darurat autokratik, pemerintahan baharu negara ini seharusnya menggunakan tema “memulihkan negara” daripada Covid-19 dan masalah ekonomi yang berlaku akibat pandemik ini.

Berikut adalah agenda-agenda utama untuk memulihkan negara:

Advertisement

Pertama, terima hakikat sains dan hentikan amalan diskriminasi antara dua darjat. Kita perlu memerangi wabak Covid-19 dengan pendekatan kerajaan menyeluruh dan kerajaan yang berani berterus-terang dengan rakyat.

Daripada mengenakan hukuman berat sambil membenarkan amalan antara dua darjat dalam penguatkuasaan SOP, lebih baik kerajaan berlaku adil kepada rakyat. Era “kerajaan lebih tahu daripada rakyat” sudah berakhir. Kerajaan zaman ini perlu belajar daripada kesilapan dan harus mengurangkan karenah birokrasi, namun tetap berani untuk mencapai matlamat misi.

Kedua, Bangsa Malaysia. Kita semua perlu bersatu atas pegangan bahawa kita berkongsi takdir yang sama dan menolak idea perkauman yang memecahbelahkan masyarakat. Perbezaan etnik, bahasa dan agama kita harus diraikan sebagai khazanah negara. Janganlah kita memusuhi sesama sendiri.

Advertisement

Ketiga, ekonomi untuk semua. Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih menyeluruh dalam menangani krisis ekonomi ketika kebanyakan perniagaan terpaksa tutup dan pekerja hilang sumber pendapatan. Kerajaan harus bersedia meminjam lebih banyak untuk menangani krisis kesihatan Covid-19 ini – ia perlu memperkukuh sistem kesihatan dan melabur dalam industri masa depan seperti meningkatkan pelaburan infrastruktur mesra alam. Ini dapat menambah pekerjaan, produktiviti dan aktiviti ekonomi.

Keempat, negara yang selamat. Sektor pertahanan dan keselamatan negara memerlukan reformasi menyeluruh untuk memastikan kedaulatan negara dilindungi manakala keselamatan awam terjamin.

Kelima, Malaysia tanpa kleptokrat dan rasuah. Kerajaan baharu mesti menghapuskan rasuah dalam semua perbelanjaannya. Memang ia bukan mudah tetapi integriti adalah kunci bagi membina keyakinan dalam kalangan rakyat dan terhadap kerajaan.

Advertisement

Walaupun kemampuan kerajaan ini mungkin terbatas oleh masa dan tolak ansur politik, ia tetap perlu berazam untuk menjadi transformatif. Ia mesti mempunyai semangat untuk membina semula negara dengan asas yang lebih baik. Hanya kita sebagai rakyat Malaysia dapat sama-sama membina semula negara kita.

Johorkini

Senator Liew Chin Tong merupakan ahli Dewan Negara dan Pengerusi DAP Johor

Advertisement

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top