BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Debat Khairy – Anwar sepatutnya di parlimen, bukan melalui video

hassan-karim.png
Advertisement

Oleh Hassan Abdul Karim

Malang bagi Malaysia. Bangunan Parlimen 17 tingkat senyap dan sunyi. Dewan Rakyat dan Dewan Negara terkunci pintu-pintunya.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terpaksa menggunakan platform media sosial melalui video untuk meluahkan fikirannya terhadap program vaksinasi kebangsaan terutama dari segi proses pemerolehan vaksin itu dari luar negara.

Advertisement

Kemudian, Menteri Sains dan teknologi (MOSTI) yang mengetuai Program Vaksinasi Kebangsaan, Khairi Jamaludin yang bertanggungjawab dalam mendapatkan vaksin tersebut dari para pengeluarnya telah menjawab dakwaan Ketua Pembangkang. Juga melalui video yang kemudian tular di internet untuk tatapan warganet.

Kalaulah kita boleh anggap kedua-dua video, sama ada video Anwar Ibrahim dan Video Khairy Jamaludin yang disebut di atas tadi dikira sah dan tulen serta jelas dan terang, tiada sangsi-sangsi lagi dan boleh dianggap keterangan yang boleh diterima pakai, bukannya hanya dengar cakap atau hearsay, maka terjawab juga kerinduan rakyat Malaysia akan perdebatan yang menarik antara dua tokoh tersebut, Ketua Pembangkang dan Menteri MOSTI.

Sepatutnya perdebatan berkualiti ini berlangsung di dalam Parlimen, bukannya di alam maya melalui video. Tetapi dalam keadaan tiada rotan, maka akar pun berguna, maka saya cuba mengulas tentang apa yang Menteri Khairy Jamaludin katakan sebagai pembelaannya terhadap dakwaan Ketua Pembangkang.

Advertisement

Khair menyatakan beliau telah menghadiri pendengaran di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Parlimen (Public Account Committee atau PAC) bagi menjelaskan secara terperinci berkaitan proses pemerolehan vaksin seperti soal harga, syarikat yang terlibat, jenis vaksin dan kontrak perjanjian. Saya boleh mengesahkan pernyataan Khairy itu benar, kerana saya hadir di Parlimen sepanjang sidang bulan Disember 2020 itu, walaupun saya bukan anggota PAC.

Tetapi satu perkara yang Khairy Jamaludin lupa memberitahu orang ramai melalui videonya itu, ialah, bahawa laporan pendengaran berkenaan pemerolehan vaksin dihadapan PAC itu tidak dibentangkan di dalam Dewan Rakyat kerana Parlimen telah digantung kemudiannya dan PAC tidak dibenarkan bersidang sepanjang penggantungan parlimen tersebut sehingga sekarang.

Jadi ahli-ahli parlimen dan orang awam tidak dapat membaca dan meneliti laporan PAC yang amat penting itu. Inilah satu kesan buruk dari penggantungan Parlimen. Maka penjelasan Khairy Jamaludin di dalam videonya itu hanyalah bersifat penjelasan sepihak sahaja tanpa Ketua Pembangkang dapat memeriksa laporan PAC yang tidak sempat dibentangkan itu, akibat Parlimen digantung. Saya boleh mengesahkan bahawa laporan PAC itu tidak dibentangkan di Parlimen kerana saya berada di dalam Dewan Rakyat sehingga hari terakhir persidangan. Tidak ada laporan PAC tersebut dibentangkan.

Advertisement

Walaupun sudah terlambat, tetapi saya percaya demi kebaikan rakyat dan negara, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya segera membuka sidang Parlimen, sekurang-kurangnya khusus untuk isu pemerolehan vaksin, program vaksinasi kebangsaan dan perang menamatkan Pandemik Covid-19.

Saya percaya Khairy Jamaludin sebagai menteri yang bertanggungjawab bersedia untuk menghadapi ahli-ahli Parlimen bagi menjelaskan beberapa perkara yang mendesak sekarang.

Antaranya pertama, isu mempercepatkan penglibatan kerajaan negeri dalam pemerolehan vaksin. Kedua, isu berkenaan peranan penting sektor swasta untuk membantu meringankan beban kerajaan dalam mendapatkan vaksin untuk para pekerja mereka. Ketiga, Menteri MOSTI itu dapat berkongsi pandangan dan menerima pandangan balas dengan ahli parlimen berkenaan roadmap program vaksinasi kebangsaan.

Advertisement

Saya percaya, dalam soal pemerolehan vaksin, program vaksinasi kebangsaan dan perang mengalahkan pandemik Covid-19, Menteri Khairy Jamaludin, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan semua ahli parlimen, baik kerajaan Perikatan Nasional, pembangkang (Pakatan Harapan) ataupun bebas tanpa parti akan berdiri bersama-sama sebagai patriot Malaysia yang sanggup ketepikan politik sempit, pandangan sektarian yang tersisih serta ideologi yang tersasar, secara bipartisan sedia untuk bekerjasama demi rakyat dan negara.

Ini satu usaha united front melawan musuh bersama. Masih belum lagi terlambat. Jangan terlepas peluang yang amat penting ini untuk selamatkan nyawa rakyat.

Hassan Abdul Karim merupakan ahli parlimen Pasir Gudang

Advertisement

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top