Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bercadang untuk melaksanakan darurat dengan alasan bagi menangani penularan Covid-19.
Saya berasa bimbang dengan laporan yang menyatakan PM Muhyiddin Yassin cuba mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen Malaysia digantung dan Darurat diisytiharkan di seluruh Malaysia.
Saya melihat cadangan Kerajaan PN untuk kononnya melaksanakan darurat bagi menangani penularan Covid-19 adalah alasan dangkal yang tidak dapat meyakinkan rakyat. Alasan sebenarnya Darurat dilaksanakan ialah supaya Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin dapat mengelak membentangkan Belanjawan Negara pada 6 November 2020 dan meghadapi ahli-ahli Dewan Rakyat pada 17hb November depan sama ada akan melulus atau menolak Belanjawan tahun 2021 tersebut.
Sekiranya Belanjawan itu ditolak oleh Dewan Rakyat, maka itu bererti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya hilang majoriti kepercayaan dari ahli-ahli parlimen.Natijahnya Muhyiddin secara konvensyen demokrasi berparlimen perlu meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak wajar secara melulu mendapatkan perkenan Yang diPertuan Agong untuk Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat di Malaysia. Dalam keadaan genting ini perlu dirujuk apa yang disebut di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, sebagai rujukan kita.
Perkara 150. (1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamataan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.
Darurat besar yang dimaksudkan itu disebut 3 perkara.Pertama keselamatan; kedua kehidupan ekonomi dan ketiga ketenteraman awam. Penularan Covid-19 tidak termasuk dalam kategori tersebut di atas. Begitu juga, pergolakan politik kepartian bukannya sejenis darurat keselamatan.
Darurat keselamatan atau ketenteraman awam adalah seperti Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.Begitu juga undi tidak percaya yang menunggu Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat yang akan bersidang bermula 2 November depan bukannya sejenis darurat keselamatan atau ketenteraman awam.
Malah risiko Belanjawan Tahun 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November depan jika tidak diluluskan oleh ahli-ahli parlimen bukanlah satu ancaman kehidupan ekonomi yang memerlukan satu proklamsi darurat diisytiharkan.
Saya berharap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen dan juga Perdana Menteri yang berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menghormati demokrasi dan institusi parlimen supaya tidak tersilap langkah membawa negara ini ke ambang kediktatoran dengan mematikan suara ahli-ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.
Jika Muhyiddin sudah kehilangan sokongan ahli-ahli parlimen dan majoriti di Dewan Rakyat, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan segera, bukannya mengisytiharkan darurat untuk terus berkuasa.
Hassan Abdul Karim merupakan Ahli Parlimen P.159 Pasir Gudang
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Johorkini