BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Berakhirnya era parti ‘Abang Besar’ di Malaysia

parti-politik-malaysia.jpg
Advertisement

Oleh : Raja Ahmad Iskandar Fareez

Setelah lebih 60 tahun berada bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, rakyat Malaysia telah terbiasa dengan dominasi hegemoni parti politik tunggal. Malah kebanyakan daripada kita masih terperangkap dalam kerangka pemikiran bahawa perlu adanya satu parti dominan dalam satu gabungan (coalition) politik.

Namun keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada tahun 2018 menunjukkan struktur ini tidak lagi terpakai dalam konteks politik semasa negara. Model politik kita telah berubah. Tiada lagi satu parti yang dominan dalam kerajaan, baik semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Advertisement

Walaubagaimana pun, masih ramai lagi ahli politik yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa lanskap politik Malaysia sudah berubah. Bahkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun tidak dapat membebaskan diri daripada andaian dan pemikiran lapuk ini.

Beliau masih lagi terperangkap dengan obsesi untuk memperoleh majoriti yang selesa dalam parlimen sekaligus mengukuhkan kedudukan beliau dan menjadikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti dominan.

Boleh dikatakan juga, ketidakstabilan pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini lahir daripada persaingan antara Bersatu dan juga UMNO untuk menjadi ‘abang besar’ dalam gabungan PN.

Advertisement

Bagi tujuan ini, Muhyiddin berusaha untuk memperkukuh kedudukan parti demi persiapan menghadapi PRU15 menerusi segala cara yang ada, sampai ada ahli UMNO sendiri yang menuduh Bersatu sedang berusaha untuk menarik ahli-ahli UMNO supaya menyertai parti itu.

Persaingan kuasa ini tentunya tidak diambil ringan oleh UMNO. Parti yang dulunya merupakan abang besar dalam BN tidak mungkin akan berdiam diri apabila berhadapan dengan ancaman langsung daripada Bersatu. Apatahlagi bagi UMNO, mereka menganggap kebanyakan kerusi-kerusi Bersatu itu sebagai milik UMNO pada asalnya.

Bagi menyelesaikan kemelut ini, kedua-dua pihak bertekad untuk bertembung pada PRU15 walaupun ianya diadakan ketika tempoh pandemik. Kedua-dua Bersatu dan UMNO begitu yakin mereka dapat merangkul majoriti yang selesa dan seterusnya mendominasi gabungan kerajaan baharu.

Advertisement

Namun begitu, tiada jaminan mana-mana parti dapat menang besar dalam pilihan raya akan datang. Kemungkinan besar juga keputusan pilihan raya itu mirip keputusan sekarang yang mana tiada pihak memperoleh majoriti selesa dan memberangsangkan. Kerajaan yang dibentuk juga mungkin hanya akan mendapat majoriti tipis.

Kalau kita lihat balik sejak pilihanraya 2008, jumlah undi yang diterima oleh gabungan parti-parti kerajaan dan pembangkang hampir sama. Pada tahun 2008, BN menang 53% undi popular; pada tahun 2013, gabungan pembangkang pada masa itu memenangi 51% undi popular; dan pada tahun 2018, Pakatan Harapan memperoleh 48% dalam situasi tiga penjuru.

Maka, kita tidak boleh menolak kemungkinan komposisi kerusi tidak akan berubah banyak. Tiada pihak yang akan menang besar. Jika begitu, plihan raya bukanlah langkah penyelesaian bagi kebuntuan ini.

Advertisement

Halatuju gabungan politik Malaysia

Dalam hal ini, pendapat Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong ada munasabahnya. Arena politk Malaysia sudah berubah jadi pendekatan parti-parti politk juga perlu berubah.

Contohnya, kalau ramai pengguna sudah biasa menggunakan khidmat penstriman seperti YouTube atau Netflix, takkan penyedia kandungan (content provider) pula masih berdegil untuk menjual kaset video VHS kepada mereka. Tentunya tidak. Mereka yang enggan menukar haluan pastinya akan ditelan dek arus zaman.

Advertisement

Parti-parti politik di Malaysia haruslah menginsafi perkembangan politik semasa dan membina semula gabungan politik yang lahir daripada semangat kerjasama bukannya dominasi abang besar.

Dari segi itu juga, kita perlu memikir semula bagaimana kita mengkonsepsikan persoalan kepemimpinan politik. Dengan tamatnya dominasi hegemoni satu parti politik, era pentadbiran Perdana Menteri berkuasa tunggal juga sudah berakhir.

Parlimen Westminster, UK yang menjadi ikutan Malaysia

Sebagai sistem demokrasi beracuan Westminster, kuat atau lemahnya suatu pentabiran bergantung kepada kaliber dan prestasi barisan kabinetnya. Bagi gabungan politik, ini bermakna mereka harus mengetengahkan sekumpulan (cohort) pemimpin yang berketerampilan dan berkebolehan demi memastikan kelangsungan (survival) mereka.

Advertisement

Kepelbagaian bakat dengan mencampurkan nama baharu dengan personaliti-personaliti yang berpengalaman mungkin berupaya menjadi kunci untuk memikat para pengundi di masa hadapan.

Tawaran kepada pengundi juga perlu diperbaharui. Buku-buku tebal manifesto mungkin bukan lagi medium paling berkesan untuk memenangi hati dan minda para pengundi. Sebaliknya idea-idea baharu yang mampu menyelesaikan masalah seharian rakyat dari segi kelangsungan hidup, mata pencarian, kebajikan dan jaminan kehidupan bermaruah antara lain memainkan faktor penting dalam pertimbangan para pengundi.

Komunikasi secara langsung dan berterusan melalui proses libat urus pengundi secara maya dan berkala mungkin menjadi salah satu platform penting dalam persediaan kempen PRU15.

Advertisement

Pandemik Covid-19 menyerlahkan ketempangan sistem ekonomi dan aturan sosial negara kita. Mereka yang berada bertambah kaya, tetapi mereka yang rentan terus bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.

Tempoh daripada hari ini sehinggalah PRU15 bakal menjadi kayu ukur. Mana-mana gabungan politik yang dapat memposisikan diri mereka dengan mengetengahkan penyelesaian-penyelesaian segar bagi masalah rakyat berkemungkinan akan muncul sebagai pemenang bagi pusingan akan datang.

Raja Ahmad Iskandar Fareez merupakan Pengarah Komunikasi REFSA

Advertisement

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

 

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top