BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Belanjawan 2021: Dilema sokong atau tak sokong

hassan-karim-belanjawan-2021.png
Advertisement

Oleh: Hassan Karim

Belanjawan negara Malaysia bagi tahun 2021 yang dibentang pada 6 November 2020 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz masih dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat di peringkat dasar. Pengundian di peringkat dasar dijangka akan berlaku pada 25hb November.

Belanjawan 2021 ini membawa dilema, tidak sahaja kepada Kerajaan Perikataan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) tetapi juga kepada Blok Pembangkang.

Advertisement

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang telah berucap membahas Belanjawan 2021. Najib Razak, Pengerusi Backbencer Barisan Nasional juga telah berucap. Presiden Amanah Mohamad Sabu, Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP serta Tun Dr Mahathir Mohamad semuanya telah berucap.

Ketua parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi Parti Pejuang semuanya telah mengisytiharkan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat bahawa mereka hanya akan menyokong Belanjawan 2021 itu sekiranya cadangan dan pindaan yang mereka tuntut diterima oleh Kerajaan PN.

Ini dilema yang dialami oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Tunduk akur menerima tuntutan dan desakan PH, BN dan Pejuang akan menampakkan kelemahan kerajaan PN pimpinan beliau.

Advertisement

Jika TSMY berkeras enggan meminda Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangannya itu, maka besar kemungkinan proses pengundian belah bagi akan berlaku di Dewan Rakyat. Ada kemungkinan Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 itu tidak dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Perkara 68(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Rang Undang-Undang Belanjawan tahunan negara mestilah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Rang Undang-Undang berkenaan kewangan tidak boleh datang dari Dewan Negara.

Jika Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, apa akan jadi? Rang Undang-Undang yang tidak lulus itu tidak boleh dibawa ke Dewan Negara. Ia juga tidak boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja.

Advertisement

Dalam keadaan sedemikian, apa implikasinya? Kerajaan PN pimpinan TSMY tidak ada wang untuk menguruskan negara bagi tahun 2021.Sesebuah Kerajaan hanya boleh berbelanja dengan menggunakan peruntukan kewangan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

Apa pilihan yang PM Muhyiddin Yasin ada, jika beliau menghadapi senario sedemikian? Pilihan pertama ialah TSMY meletak jawatan sebagai Perdana Menteri bersama-sama seluruh anggota kabinet Kerajaan PN. Dalam erti kata lain Kerajaan PN tumbang.

Soalannya adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan pimpinannya mesti meletak jawatan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen?

Advertisement

Diteliti di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri dan Kabinet mesti meletak jawatan jika kalah dalam undian berkenaan Belanjawan Tahunan di Dewan Rakyat. Malaysia sejak Merdeka tidak pernah mengalami situasi di mana Rang Undang-Undang Belanjawan ditolak oleh Dewan Rakyat.

Yang ada ialah amalan lazim atau disebut konvensyen yang diamalpakai di negara-negara demokarasi khususnya di dalam Komenwelth bahawa Perdana Menteri dan kabinet hendaklah meletak jawatan apabila kalah dalam undian Belanjawan tahunan.Kekalahan sedemikian dianggap kerajaan berkenaan khusus Perdana Menterinya tidak mendapat kepercayaan yang cukup di kalangan ahli parlimen.

Jadi, secara andaian yang mungkin, apa pilihan lain yang PM Muhyiddin Yassin ada,jika beliau enggan meletak jawatan? Muhyiddin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya Darurat seluruh negara diiystiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan atas alasan wujud keadaan dharurat yang besar di mana kehidupan ekonomi terancam akibat Belanjawan Negara tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Advertisement

Persoalannya adakah TSMY sanggup menghadap Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua memohon perisytiharan Dharurat selepas permohonannya kali pertama tidak lama dahulu ditolak oleh Baginda?

Pilihan lain yang ada pada Muhyiddin Yassin jika Belanjawan ditolak ialah beliau terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya Parlimen Penggal ke-14 ini dibubarkan dan satu Pilihanraya Umum diadakan.

Apa risiko yang Muhyiddin mungkin hadapi jika berbuat demikian? Ada kemungkinan bahawa permohonan Perdana Menteri itu ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

Apakah pilihan yang lazimnya dipakai di negara-negara demokrasi lain apabila Rang Undang-Undang Belanjawan Negara ditolak oleh Parlimen yang patut konvesyen ini dicontohi di Malaysia.

Pilihannya ialah Perdana Menteri itu wajar menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan surat perletakan jawatan.Dengan berbuat demikian Kabinetnya juga gugur. Kerajaannya tumbang dan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan kuasa Baginda berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dengan melantik Perdana Menteri baru berdasarkan Perkara 43(2)(a). Sebuah Kabinet baru akan dibentuk dan sebuah Kerajaan baru ditubuhkan dengan tugas pertamanya ialah membentangkan Belanjawan tahun 2021.

Pemimpin-pemimpin blok pembangkang juga menyedari dilema yang mereka hadapi. Mereka tidak dapat menerima Belanjawan seperti apa yang telah dibentangkan di parlimen. Jika mereka tolak secara keseluruhan mungkin akan berlaku pergolakan politik yang hebat seperti yang dinyatakan di atas.

Advertisement

Blok pembangkang tentu tidak bersetuju Perisytiharan Darurat diisytiharkan kerana Belanjawan Kerajaan PN tewas di Parlimen. Blok Pembangkang juga tentu berpandangan bahawa Pilihanraya Umum tidak patut diadakan dalam masa terdekat di mana Pandemik Covid-19 masih di peringkat bahaya dan Perintah PKPB dikuatkuasakan di banyak negeri.

Blok pembangkang juga dalam dilema kerana mereka tidak pasti apakah langkah yang akan diambil oleh PM Muhyuddin Yassin dan Kerajaan PN jika pada 25 November nanti Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 ditolak oleh Dewan Rakyat.

Hassan Abdul Karim merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top