BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Apakah langkah menamakan calon MB Johor itu penting?

hassan-karim-pkr-pasir-gudang.jpeg

Gambar Ehsan Malaysiakini

Oleh: Hassan Karim

Kalau Pakatan Harapan yang terdiri daripada tiga buah parti, Keadilan, Amanah dan DAP hendak menang Pilihanraya Negeri Johor, saya nasihatkan jangan taksub sangat untuk menamakan siapa calon MB dari PH.

Sikap sederhana, tidak angkuh dan tidak sombong PH sekarang dalam PRN Johor adalah positif.

Berlumba-lumba menamakan calon MB seperti dalam PRN Melaka dahulu hanya akan menyebabkan Rakyat Johor menyampah dengan mana-mana parti politik yang berbuat demikian.

Nasib baik Keadilan khususnya dan PH amnya dalam PRN Johor kali ini tidak terjebak dalam sindrom “burung terbang, dipipiskan lada”.

Rakyat Johor meluat dengan mana-mana parti politik yang bongkak yang hanya memberi keutamaan untuk rebut kuasa politik.Awal-awal menamakan calon MB adalah contoh kerakusan kuasa.Jauhkanlah dari sifat buruk ini.

Jadi apa sebenarnya yang patut dilakukan? Pakatan Harapan perlu secara jujur menjadi pembela Rakyat, jadi Suara Rakyat.Calon-calon PH dari Keadilan,Amanah dan DAP perlu menjadi jurubicara kepentingan Rakyat.

Rakyat Johor hendak tahu satu perkara penting sekarang ini. Mereka ingin tahu apakah rancangan konkrit yang tersusun, yang praktikal, yang realistik dan efektif untuk mengatasi masalah kos Sara Hidup yang tinggi di Johor sekarang ini.

Rakyat Johor tidak berminat hendak tahu siapa calon MB Johor dari parti A atau parti B atau parti C.

Sebaliknya, rakyat Johor hendak lihat dan hendak dengar apakah Jalan penyelesaian kepada masalah Utama Rakyat Johor dalam Pilihanraya ini iaitu isu Kos Sara Hidup.

Harga barang keperluan harian terutama harga barang makanan yang terlalu tinggi sekarang ini, sudah sampai ke tahap tidak tertanggung lagi bagi Rakyat jelata.

Inilah isu sebenarnya, bukan isu siapa nak dicalonkan sebagai MB.

Hassan Abdul Karim merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

Share this post

scroll to top