BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Apa yang boleh dipelajari dari pilihanraya Presiden AS 2020?

SHEIKH-‘UMAR-BAGHARIB-ALI.jpeg-1.jpg
Advertisement

Oleh: Sheikh ‘Umar Bagharib Ali

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pada awal November 2020 lalu menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua calon parti Republikan dan Demokrat, sehingga memaksa proses pengiraan semula undi dilakukan di beberapa buah negeri. Ditengah kegusaran berikutan penularan wabak COVID 19, kemenangan berpihak kepada calon Demokrat Joe Biden yang memperolehi 290 undi badan pemilihan (electoral college) berbanding Donald Trump yang hanya mampu memperolehi 217 undi.

Dalam konteks undi popular, beliau memperolehi undi terbesar dalam sejarah Pilihan Raya Presiden AS iaitu sebanyak 78 juta undi, melebihi Hillary Clinton yang merupakan calon Demokrat pada pilihan raya 2016.

Advertisement

Pasca pilihanraya Presiden AS pada kali ini turut mencatatkan dua rekod sejarah yang bermakna dalam 232 tahun sejarah pilihanraya di negara kuasa dunia tersebut, bilamana Joe Biden muncul sebagai calon tertua (berusia 77 tahun) yang dipilih sebagai Presiden dan Kamala Harris menjadi wanita yang pertama menduduki jawatan Naib Presiden. Setelah empat tahun ditadbir oleh populis seperti Donald Trump, gandingan Biden-Harris bakal mewarisi sebuah negara yang semakin melebar jurang sosial, politik dan ekonomi.

Gandingan terbaru Rumah Putih ini mempunyai tiga tugas utama sebaik sahaja memulakan tugas pada Januari 2021 nanti. Antaranya ialah menyatukan kembali rakyat yang terpecah akibat sentimen perkauman, memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas teruk berikutan penularan wabak COVID 19 dan mengimbangi kemaraan China di pentas global.

Trump dan Populisme yang Meruntuhkan Negara

Advertisement

Kemenangan Donald Trump pada pilihan raya 2016 banyak bergantung kepada apa yang dipanggil sebagai ‘Trump’s white wave’ iaitu peningkatan sokongan majoriti pengundi berkulit putih khususnya dari kelas pekerja (working class) dan luar bandar. Kelompok ini adalah golongan yang berasa dipinggirkan ketika era pentadbiran Obama.

Trump boleh dikategorikan sebagai seorang ‘outsider’ dalam arena politik. Calon Presiden yang bukan berasal daripada ‘inner circle’ elit politik yang berlegar di Washington. Malahan, dari perspektif pengundi luar bandar, imej yang dibawa oleh calon Demokrat pada ketika itu iaitu Hillary Clinton dilihat sebagai mewakili kelompok elit politik yang dipandang pro kepada kepentingan kumpulan pelobi dan perniagaan.

Menyedari kegusaran yang melanda rakyat, Trump dengan liciknya menggunakan sentimen perkauman dan kebanjiran pendatang yang menyebabkan polarisasi ekonomi. Natijahnya, ia menimbulkan ‘cultural anxiety’ di kalangan pengundi. Selama empat tahun pentadbiran Trump, beliau mengeksploitasi sepenuhnya ‘cultural anxiety’ yang timbul dikalangan rakyat dengan retorika populis yang akhirnya menjurus kepada kemerosotan AS dalam konteks ekonomi dan pengaruh diperingkat antarabangsa.

Advertisement

Sebagai contoh, rakyat dimomokkan dengan ancaman oleh pendatang dari Mexico yang akan menyebabkan keruntuhan negara, sehingga pentadbiran beliau mencadangkan pembinaan tembok sepanjang sempadan dua buah negara dan layanan yang tidak berperikemanusiaan terhadap pendatang di kem tahanan. Ini secara tidak langsung, menyebabkan polarisasi dalam aspek hubungan kaum dan agama semakin melebar di Amerika Syarikat.

Selaras dengan slogan populis ‘Make America Great Again’, pentadbiran Trump turut mengambil langkah yang merugikan dalam konteks polisi luar negeri. Pendekatan yang bersifat ‘insular’ menyaksikan Washington mengambil pendirian keluar daripada Perjanjian Paris 2015 mengenai perubahan iklim. Polisi yang merugikan ini menyebabkan negara Amerika Syarikat semakin dipencilkan oleh sekutu-sekutunya di seluruh dunia.

Kegilaan naratif perkauman yang menjadi landasan politik Trump turut menyebabkan Washington menggelarkan wabak COVID 19 sebagai ‘Virus Cina’ (Chinese Virus). Perlu kita fahami bahawa naratif kaum ini adalah bertujuan meraih sokongan rakyat disaat kempen pilihan raya Presiden sudah mulai hampir.

Advertisement

Biden dan Janji Politik Moderat

Biden mungkin bukanlah calon yang sempurna. Ketika beliau menjawat jawatan sebagai Naib Presiden, pentadbiran Obama dikritik hebat berikutan tindakan kerajaan membenarkan kegiatan pengawasan awam oleh kerajaan yang dilihat menghakis kebebasan sivil rakyat.

Namun, kemunculan Biden sebagai calon parti Demokrat dilihat mampu mengubah situasi negara AS yang semakin terpecah dan tenat dibawah pentadbiran Trump.  Selain itu, Biden dilihat mampu menjembatani perpecahan yang semakin ketara di Amerika Syarikat dengan politik yang lebih moderat dan toleran.

Advertisement

Disaat retorika Trump yang berbaur perkauman dan terarah bernada keras terhadap kaum minority khususnya kelompok Muslim dan Hispanik, parti Demokrat menampilkan gandingan Biden bersama calon Naib Presiden yang bukan sahaja seorang wanita, malahan berketurunan kaum minoriti iaitu Kamala Harris.

Menarik untuk diperhatikan, dengan meletakkan Kamala Harris sebagai calon Naib Presiden, ia merupakan pengiktirafan kepada prinsip kesaksamaan dan kesamarataan yang menjadi nadi utama perlembagaan negara tanpa mengira gender, keturunan dan kepercayaan. Bahkan, penerimaan rakyat terhadap calon muda seperti Ilhan Omar dan Alexandria Ocasio Cortez membuktikan bahawa politik moderat yang tampil sebagai alternatif kepada politik perkauman bakal mengubah landskap politik Amerika Syarikat pada masa hadapan.

Perubahan Kerajaan Sebagai Kelaziman Demokrasi

Advertisement

Penanda aras kematangan budaya politik negara ditonjolkan dengan sikap keterbukaan kepada perubahan dan perbezaan ideologi. Rumah Putih bakal menerima penghuni yang ke 46 pada bulan Januari 2021. Ini bermakna, budaya politik Amerika Syarikat tidak hanya terikat apatah lagi tersekat dengan satu parti politik sahaja. Jika pada penggal ini kerajaan akan dipimpin oleh seorang Presiden daripada Parti Demokrat, ia bukan jaminan ia akan kekal pada penggal yang akan datang.

Sebagai contoh, pada penggal 1988-1993, Amerika Syarikat dipimpin oleh Presiden George H.W Bush dari parti Republican. Namun, berikutan kontroversi perang Teluk ditambah dengan kegagalan pentadbiran Bush dalam menguruskan ekonomi negara, maka pada pilihan raya Presiden yang berikutnya beliau telah ditewaskan oleh Bill Clinton dari parti Demokrat. Namun, kesinambungan tradisi demokrasi masih berjalan lancar di negara kuasa besar dunia tersebut.

Oleh yang demikian, kita tidak perlu bimbang kepada perubahan kerajaan, asalkan ia berlandaskan tradisi dan aturan prinsip demokrasi.

Advertisement

Apa Yang Boleh Dipelajari Dari Politik AS?

Di Malaysia, kita seringkali dimomokkan bahawa perubahan kerajaan akan menyebabkan kekacauan dan huru hara. Konsep kestabilan seringkali disandarkan pada logik ‘berapa lamakah pengalaman sesebuah parti itu memerintah’. Pada pendapat saya, ini merupakan suatu pemahaman yang salah dan falasi dalam demokrasi.

Perubahan kerajaan tidak sama sekali akan menggangu sistem pentadbiran yang sudah sedia berjalan seadanya. Pentadbiran awam negara pada asasnya tidak berubah meskipun Putrajaya ditunjangi oleh parti pemerintah yang baru saban pilihan raya.

Advertisement

Mitos bahawa hanya parti Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu memerintah negara merupakan mitos lapuk yang perlu dihapuskan dari pemahaman politik rakyat. Konsep politik berasaskan kaum yang menjadi teras kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga adalah tidak ubah seperti mana Trump cuba menimbulkan ‘cultural anxiety’ dikalangan pengundi di Amerika Syarikat.

Politik Perikatan Nasional seperti yang dikongsi oleh parti komponennya Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan UMNO hanyalah berdiri di atas premis menakut-nakutkan rakyat terhadap sesuatu yang tidak jelas sama sekali.

Contohnya, dikatakan bahawa kaum Melayu sebagai majoriti akan kehilangan kuasa dan kedaulatan jika gabungan PN tewas dalam pilihanraya, adalah saling tak tumpah seperti kempen Trump bahawa Amerika Syarikat bakal runtuh berikutan kebanjiran immigrant ke dalam negara itu. ‘Hantu’ yang sengaja dicipta untuk ditakuti oleh kita, sedangkan kita sendiri tidak pasti kewujudannya.

Advertisement

Akibatnya, amalan rasuah dan politik naungan (patronage) yang berakar umbi akan terus menerus berjalan dan menjadi barah dalam amalan politik di negara kita. Seperti juga Amerika Syarikat, latar negara kita juga bersifat plural. Kepelbagaian budaya dan agama serta keberagaman adat resam merupakan kekuatan kita. Dalam mencapai negara idaman, Malaysia haruslah menjadikan budaya politik moderat sebagai landasan dalam tadbir urus dan tatakelola sebuah negara yang plural.

Seperti mana rakyat Amerika Syarikat menolak Trump, kita harus menolak politik populis perkauman dan berani berubah kepada pentadbiran yang lebih telus dan beretika. Politik ‘ala Trump’ hanyalah akan menukar kemajmukan kita sebagai suatu kekuatan, menjadi malapetaka perpecahan. Janganlah sampai kita menjadi ibarat ‘telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua’.

Sheikh ‘Umar Bagharib Ali merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi kawasan Paloh

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top