BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Apa tugas hakiki ahli parlimen?

parlimen-malaysia-dewan-rakyat.jpg
Advertisement

Oleh: Fakhrurrazi Rashid

Saya membaca tulisan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad,bertajuk ‘Parlimen hibrid adalah jalannya’ di Utusan Malaysia pada 3 Julai lalu. Beliau berpendapat parlimen hibrid adalah pendekatan terbaik untuk memastikan fungsi parlimen diteruskan ketika pandemik Covid-19 ini dan perlu dilaksanakan dalam jangka masa panjang.

Secara asasnya, saya bersetuju konsep parlimen hibrid ketika pandemik. Cuma, ulasannya berkenaan fungsi sebenar ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada saya masih berada di takuk lama.

Advertisement

Pertama, beliau menyatakan tugas ahli parlimen dan Adun membuat undang-undang hanyalah ‘separuh masa’. Kedua, beliau melihat wakil rakyat hanya perlu membuat kerja-kerja kawasan seperti memberi bakul makanan dan melihat jalan berlubang. Ketiga, beliau menyatakan persidangan parlimen yang kerap boleh menjadi punca wakil rakyat ‘hilang’ dari kawasan dalam tempoh lama.

Persoalannya, sejauh manakah dakwaan ini benar? Ini adalah budaya politik lama pentadbiran terdahulu yang tidak gemar wakil rakyat aktif dalam persidangan parlimen dalam membahaskan isu dasar kerajaan agar segala usul yang dibentangkan dapat diluluskan segera tanpa ada semak dan imbang yang teliti daripada ahli parlimen.

Tugas di kawasan seperti menghantar bakul makanan ketika musim pandemik ini tidak sepatutnya dibebankan kepada wakil rakyat sahaja kerana kerajaan sudah mempunyai pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap kawasan parlimen yang mempunyai peruntukan dan beratus kakitangan. Dalam isu jalan berlubang pula, ia boleh diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap bandar dan daerah.

Advertisement

Persoalannya, mengapa rakyat masih mencari ahli parlimen dan Adun meskipun terdapat agensi seperti JKM dan PBT di kawasan yang boleh membantu mereka?

Kerenah birokrasi dalam agensi kerajaan dan PBT yang gagal bertindak secara efektif untuk menyelesaikan masalah rakyat menjadi punca mengapa orang ramai lebih selesa meminta bantuan wakil rakyat yang selalunya bersikap proaktif.

Malah, penekanan kepada ahli parlimen membuat ‘kerja kawasan’ juga akan mengundang kesan buruk apabila segelintir daripada wakil rakyat lalai ke parlimen untuk membahaskan dasar kerajaan.

Advertisement

Fungsi parlimen dan tugas-tugas hakiki ahli parlimen di Malaysia berdasarkan model parlimen Westminster. Pertama, peranan utama sistem parlimen Westminster adalah untuk membentuk sebuah kerajaan demokratik. Ahli parlimen yang dipilih rakyat menerusi pilihan raya berperanan untuk menentukan pihak mana yang mempunyai kepercayaan untuk membentuk kerajaan.

Kedua, tugas hakiki ahli parlimen adalah menggubal undang-undang. Setiap undang-undang yang dikemukakan kerajaan hanya mempunyai legitimasi selepas ia diterima dan diluluskan oleh semua ahli parlimen. Ia juga membuktikan wakil rakyat bukan sahaja mewakili kawasannya untuk menggubal undang-undang di parlimen, tetapi ia merangkumi kepentingan semua rakyat Malaysia yang akan menerima kesan daripada undang-undang diluluskan kelak.

Ketiga, ahli parlimen mempunyai peranan dalam menyemak setiap dasar, belanjawan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan supaya setiap perancangan dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Tanpa semak dan imbang, risiko dasar tersebut tidak berjaya dilaksanakan dengan menyeluruh adalah tinggi dan boleh memberi kesan kepada rakyat.

Advertisement

Sebagai contoh, pakej rangsangan ekonomi dan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan melalui media sepanjang pandemik telah menimbulkan lebih banyak persoalan dan kekeliruan kerana informasi diberikan tidak jelas dan mempunyai pelbagai aspek teknikal.

Maka, perkara inilah yang sepatutnya dibawa kepada parlimen untuk disemak secara terperinci agar ia dapat memberi penjelasan mudah kepada rakyat. Menteri juga mempunyai peluang untuk menjelaskan dasar tersebut dalam sesi pertanyaan, perbahasan, dan siasatan daripada ahli parlimen atau Jawatankuasa Parlimen Khas (JPK) dalam isu berbangkit.

Peranan ahli parlimen dan Adun perlu diteruskan dan ia perlu dilihat oleh kerajaan sebagai rakan strategik dalam memerangi pandemik, bukan sekadar beri bakul makanan di kawasan yang boleh dilakukan pelbagai pihak.

Advertisement

Bagi memastikan ahli parlimen dapat melaksanakan tugas hakiki mereka, tempoh persidangan parlimen perlu ditambah. Kekurangan hari bersidang menjadi punca beberapa pihak melihat wakil rakyat tidak terlibat secara aktif dalam menggubal undang-undang dan dasar negara.

Parlimen seharusnya bersidang 100 hari dalam setahun agar ahli parlimen dapat menjalankan fungsinya sebagai penggubal undang-undang dan meneliti dasar kerajaan dalam JPK parlimen secara maksimum.

Penambahan hari bersidang ini menjadi lebih penting memandangkan pelbagai dasar kerajaan perlu diperincikan oleh parlimen untuk membina semula negara pada demi generasi akan datang.

Advertisement

Kelemahan agensi kerajaan di peringkat kawasan dan PBT yang didakwa kurang berkesan dalam membantu rakyat akibat kerenah birokrasi perlukan perubahan menyeluruh. Perubahan ini dapat memperkukuhkan lagi kelancaran untuk mendepani masalah rakyat dan memberi ruang kepada ahli parlimen fokus kepada tugasan menggubal undang-undang dan dasar di parlimen.

Tidak dinafikan parlimen perlu memanfaatkan peng­gunaan teknologi untuk mene­ruskan fungsinya seper­ti parlimen hibrid. Namun, perlu ditegaskan parlimen hibrid ini hanyalah pendekatan sementara pada waktu tertentu dan tidak harus menjadi pendekatan tetap. Skema undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan Perkara 62(5) masih mengutamakan persidangan parlimen secara fizikal, khususnya dalam proses pengundian yang memerlukan wakil rakyat hadir di parlimen.

Persidangan parlimen adalah perkhidmatan penting yang diperlukan rakyat dan negara untuk membincangkan jalan terbaik untuk membina semula negara yang terkesan teruk akibat krisis pandemik.

Advertisement

Ketegasan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang menyeru parlimen bersidang secepat mungkin sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya institusi ini untuk menye­lesaikan masalah rakyat dan membincangkan hala tuju negara.

Fakhrurrazi Rashid merupakan penyelaras penyelidik Research For Social Advancement (REFSA))

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top