BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Apa itu ucapan Titah Diraja?

YDPA-Al-Sultan-Abdullah.jpg
Advertisement

Oleh: Fakhrurrazi Rashid

Pada sesi pembukaan parlimen pada tahun lepas, terdapat seorang Timbalan Menteri Perikatan Nasional (PN) teruja dengan ‘kerajaan beta’ yang diungkap oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di dalam ucapan Titah Diraja. Menurutnya, istilah tersebut merujuk kepada pengiktirafan YDPA kepada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sedangkan, istilah tersebut sebenarnya merujuk kepada kerajaan yang memerintah dan ia telah diguna pakai sejak ucapan Titah Diraja pertama di parlimen pada 11 September 1959. Tidak ada keistimewaan yang terkandung dalam istilah tersebut.

Advertisement

Hakikatnya, kesalahan Timbalan Menteri yang memanipulasikan ‘kerajaan beta’ untuk kepentingan politik kerajaan dan Perdana Menteri mencerminkan betapa ceteknya pengetahuan pemimpin negara dalam memahami konsep sebenar ucapan Titah Diraja.

Justeru rakyat perlu membaca dan memahami konsep Titah Diraja serta tidak terjerumus dalam segmen-segmen yang cuba memanipulasikan erta sebenar disebalik Titah Diraja.

Berdasarkan parlimen ala Westminster, ucapan Titah Diraja atau ‘Throne Speech’ ini telah diamalkan sejak abad ke-16. Ketua Negara akan menyampaikan ucapan ini kepada semua ahli parlimen bagi memaklumkan tentang dasar-dasar dan perancangan kerajaan yang akan dilaksanakan.

Advertisement

Di Malaysia, Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan memperuntukan YDPA boleh memberi Titah Diraja dalam mana-mana Majlis Dewan atau kedua-duanya, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Jadi, apakah yang perlu kita tahu tentang ucapan Titah Diraja ini?

Pertama, Titah Diraja = Ucapan Dasar

Tentu ada yang bertanya, adakah YDPA menulis sendiri ucapannya? Sebenarnya, isi kandungan Titah Diraja akan disediakan oleh jemaah menteri dengan meletakkan fokus dasar dan perancangan kerajaan sepanjang tahun tersebut. Ini tidak bermaksud YDPA hanya membaca apa yang dikarang bulat-bulat, tetapi baginda boleh memperbetulkan beberapa perkara yang terkandung dalam ucapannya.

Advertisement

Oleh sebab itu, Titah Diraja juga dirujuk sebagai ‘Ucapan Dasar’ kerana ia akan memberitahu ahli-ahli parlimen berkenaan perjalanan pentadbiran kerajaan. Kadang kala, ada pengumuman penting yang akan disentuh dalam Titah Diraja seperti pindaan atau pengenalan Rang Undang-Undang (RUU), status terkini ekonomi dan kehidupan rakyat, serta isu-isu keselamatan negara.

Kedua, kandungan Titah Diraja boleh dipinda

Sesudah selesai ucapan Titah Diraja, seringkali terdapat beberapa pengulas politik, pakar perlembagaan, dan ahli politik yang mendakwa ahli parlimen yang menolak atau meminda ucapan Titah Diraja boleh dianggap derhaka kepada YDPA. Sejauh manakah kenyataan ini benar?

Advertisement

Sebenarnya, dakwaan di atas tidak berasas. Ia selalunya dibawa oleh pihak tertentu yang cuba membawa politik berasaskan sentimen tanpa fakta yang jelas. Sekiranya ucapan Titah Diraja ini tidak boleh dipinda, apa fungsinya Peraturan Mesyuarat parlimen membenarkan ahli parlimen membahaskan ucapan tersebut?

Selalunya, Ahli Parlimen diperuntukan selama lima hari untuk membahaskan Titah Diraja. Sekiranya wakil rakyat melihat keperluan membuat pembetulan atau penambahbaikan dalam dasar yang terdapat Titah Diraja, mereka boleh mengemukakan usul untuk mencadangkan pindaan tersebut. Pendekatan ini bermaksud ahli parlimen mempunyai kebebasan untuk memberi cadangan bagi menambahbaik dasar kerajaan.

Harus dijelaskan juga, ahli parlimen hanya boleh mengkritik kandungan Titah Diraja berkaitan dasar kerajaan sahaja. Mereka tidak boleh mengancam dan mengkritik peribadi YDPA dan kedudukan Raja Berperlembagaan berdasarkan Perkara 63(5) perlembagaan Persekutuan. Maksudnya, tugas mengkritik dasar adalah tugas hakiki ahli parlimen dan bukan mengancam kedudukan Raja Berperlembagaan.

Advertisement

Bagaimanapun Ahli Parlimen tidak dibenarkan mengkritik peribadi dan kedudukan Raja atau Yang Di-Pertuan Agong mengikut Perkara 63 (5) Perlembagaan Persekutuan. Maka, ini bermaksud, mengkritik kandungan Titah Diraja berkaitan dasar kerajaan adalah satu perkara yang menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen dan bukan mengancam kedudukan Raja.

Menambahbaik ucapan Titah Diraja

Selalunya, perbahasan menjunjung kasih Titah Diraja ini sering menjadi ‘Teater’ kepada ahli parlimen untuk membangkitkan isu-isu politik kepartian yang sering berakhir dengan pergaduhan. Gimik politik beberapa ahli parlimen juga telah merendahkan kepentingan Titah Diraja dalam membahaskan dasar negara.

Advertisement

Justeru, apakah cara yang boleh dilakukan untuk menambahbaik prosedur ucapan Titah Diraja agar ia tidak menimbulkan pertelingkahan ahli parlimen?

Pertama, ucapan Titah Diraja perlu diangkat sebagai ucapan dasar kerajaan yang menyentuh tentang pelan ekonomi dan penggubalan undang-undang yang akan dibawa ke parlimen berbanding retorik politik semata-mata. Langkah ini akan mengangkat kepentingan Titah Diraja setaraf dengan perbahasan Belanjawan Negara.

Kedua, Perdana Menteri perlu menjelaskan kandungan dasar kerajaan dalam Titah Diraja sebelum perbahasan bermula. Penerangan ini penting untuk memastikan ahli parlimen jelas tentang dasar yang mahu dibawa kerajaan. Amalan ini akan membantu perbahasan ucapan Titah Diraja berdasarkan fakta dan asas yang lebih konstruktif.

Advertisement

Ucapan Titah Diraja pada 13 September ini adalah ucapan kedua dalam tempoh Malaysia berhadapan dengan pandemik. Tentunya rakyat menaruh harapan agar parlimen kali ini membawa semangat baharu untuk membantu rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19. Sikap buruk ahli parlimen yang menjerit dan bermain sentimen politik di dalam parlimen, khususnya semasa titah diraja, hanya akan menimbulkan kekecewaan mendalam rakyat sahaja.

Sebab itu, pentingnya rakyat memahami konsep ucapan Titah Diraja supaya tidak terperangkap dengan dakwaan yang tidak tepat dan menimbulkan sentimen benci-membenci. Ia juga memberi tekanan kuat kepada ahli parlimen untuk lebih cermat untuk membahaskan Titah Diraja demi menyelesaikan isu rakyat secara bersama.

Fakhrurrazi Rashid merupakan seorang Koordinator Penyelidik di Research For Social Advancement Berhad (REFSA). Beliau juga bergiat aktif sebagai penulis yang suka bercerita tentang politik dan parlimen.

Advertisement

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top