BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Aktifkan pusat pemantauan dan perlindungan pemberi maklumat – MP Johor Bahru

akta-perlindungan-pemberi-maklumat-1.png

Grafik Ehsan fox.temple.edu

Oleh: Akmal Nasir

Saya menyambut baik pendekatan yang diambil oleh Tan Sri Hamid Bador, Ketua Polis Negara yang bertemu dengan sdr Asri Janggut, susulan pendedahan beliau mengenai premis perjudian haram dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh.

Gambar pertemuan tersebut diharap sedikit sebanyak memberi jaminan agar siasatan terhadap perkara yang dibangkitkan dapat dijalankan secara menyeluruh disamping keselamatan sdr Asri terjamin.

Namun, kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri yang menyaran agar laporan dibuat menggunakan saluran yang tepat seolah-olah beliau tidak memahami apa yang berlaku kepada Sdr Asri dan juga nasib pemberi-pemberi maklumat yang lain.

Permasalahan seperti tiada tindakan diambil terhadap aduan yang dikemukakan atau yang lebih malang apabila maklumat si pengadu yang bocor sehingga mendatangkan risiko kepada pemberi maklumat bukanlah sesuatu perkara yang baru.

Pengalaman dalam pendedahan kes-kes salah laku NFC, 1MDB, MARA, Tabung Haji dan lain-lain seperti yang didedahkan oleh sdr Rafizi atau saya sendiri dalam pendedahan penyelewengan YaPEIM sebelum ini, pemberi maklumat telah mencuba saluran rasmi dan pendedahan kepada umum merupakan jalan yang terakhir.

Gesaan agar Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblowers Protection Act) perlulah diambil serius dengan mengambil semua pandangan secara holistik.

Selain itu, isu pokoknya berkaitan pembanterasan aktiviti haram perlu diteliti dengan lebih mendalam.

Kita kena akui, kegiatan jenayah akan terus wujud dalam masyarakat dan peranan pihak Penguatkuasa seperti PDRM, SPRM, PBT dan lain-lain amat diperlukan.

Penjenayah juga meningkatkan keupayaan mereka untuk meneruskan kegiatan mereka samada melalui kelompongan undang-undang atau penguatkuasaan mahupun penggunaan teknologi.

Maka, kesedaran awam mengenai usaha pembanterasan aktiviti perlu dilakukan sepanjang masa dan masyarakat dilibatkan bersama.

Dana atau peruntukan tambahan kepada agensi-agensi penguatkuasaan perlulah dipertimbangkan dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan peningkatkan kemahiran, penggunaan teknologi serta kebajikan anggota polis, SPRM secara amnya.

Sekiranya undang-undang sedia ada tidak mencukupi, maka perlulah dilibatkan pembuat-pembuat dasar secara keseluruhan, tidak kira kerajaan atau pembangkang.

Ya, kegiatan haram ini bukan hanya di Sg Buloh tetapi juga di bandar- bandar sekitar Lembah Klang, Johor Bahru, dan lain-lain. Malah, saya percaya juga ada di luar bandar juga.

Bebanan ini perlu dipikul bersama demi keadaan masyarakat yang lebih baik.

Cuma kelazimannya, apabila keadaan lebih reda, isu ini akan berlalu begitu sahaja sekiranya kita tidak terus memperjuangkannya.

pembelaan pemberi maklumat, saya mengharapkan agar sokongan diberikan untuk kita aktifkan kembali Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat (National Oversight and Whistleblowers).

Anggaplah pandangan ini sebagai membina terutamanya dalam usaha memperkuatkan penglibatan masyarakat dalam usaha membanteras salah laku, rasuah dan penyelewengan.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Johorkini

Akmal Nasir merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top