BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Adakah rakyat mula menentang kerajaan Perikatan Nasional?

Hassan-Karim.jpeg

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

Advertisement

Oleh : Hassan Abdul Karim

Beberapa simptom telah kelihatan. Rakyat menyatakan rasa tidak puas hati di sana sini. Kebanyakannya dicetuskan oleh golongan muda, lelaki dan perempuan.

Simptom pertama, jelas kelihatan apabila anak-anak muda melakukan protes di jalan menuju ke parlimen. Mereka menuntut perlaksanaan Undi 18 tahun. Ini berlaku di ibukota, di hadapan mercu tanda demokrasi di Malaysia, iaitu bangunan parlimen yang tersergam berdiri .

Advertisement

Kemudian berlaku simptom yang kedua. Kita mendengar jauh di Besut, Terengganu di pantai timur. Sekatan polis yang terdiri dari dawai berduri dan penghadang jalan dimusnahkan oleh rakyat kampung yang tidak puas hati dengan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang Diperketatkan (PKPD).

Bukan di Semenanjung sahaja. Simptom ketiga, berlaku di seberang Laut China Selatan di Sabah sana. Berlaku protes “civil diobedience” apabila penduduk-penduduk menunjuk perasaan dalam skala kecil terhadap perintah PKP.

Simptom keempat berlaku pada bulan Mac di Johor Bahru, sekumpulan anak-anak muda mengadakan “flashmob” di Bandaraya Johor Bahru. Mereka menuntut supaya Parlimen Malaysia dibuka dan Undi 18 tahun segera dilaksanakan.

Advertisement

Simptom yang terkini berlaku di Parit Raja, Batu Pahat, Johor, pada malam hari raya Aidilfitri yang pertama. Lebih 20 orang anak muda berumur dari 16 tahun hingga 28 tahun memprotes di jalanraya sambil menaikkan kain sepanduk yang membawa tulisan dengan kata-kata “Kerajaan Gagal”.

Suar api menyala di lebuhraya penting di palimen Seri Gading. Aksi bantahan di Parit Raja itu bersifat amat political dengan merumuskan protes rakyat dengan cogan kata Kerajaan Gagal.

Mengapa ini semua berlaku?

Advertisement

Banyak sebabnya, faktor yang menolak dan yang menarik sehingga membawa anak-anak muda Malaysia mula turun ke jalanraya untuk bersuara.

Pertama, kerana anak-anak muda Malaysia ini adalah genarasi yang berpelajaran yang kenal internet dengan segala peranti komunikasi yang terkini. Anak-anak muda ini telah lahir dalam negara yang menjunjung amalan demokasrsi di mana wujudkan kebebasan bersuara dan menyatakan fikiran.

Anak-anak muda ini bukan taksub dan percaya sangat tentang demokrasi berparlimen. Tetapi apabila parlimen digantung, maka anak-anak muda tersentak dan mereka mula berasa ini tidak patut.

Advertisement

Seburuk-buruk parlimen, pada fikiran mereka, jika dibenarkan bersidang, maka akan berlaku perbahasan dan semak serta imbang. Proses perbahasan itu boleh dilihat secara langsung oleh rakyat melalui kaca TV dan Youtube mereka. Tetapi apabila parlimen digantung, maka satu saluran meluahkan perasaan telah tertutup.

Kedua, kerana berlaku periystiharaan darurat. Pada mulanya anak-anak muda ini memberi “benefit of the doubt” terhadap Kkerajaan tentang langkah mengisytiharkan darurat itu atas alasan kononnya untuk membendung penularan Covid-19.

Tetapi apabila pendemik Covid-19 ini semakin hari semakin menjadi serius walaupun darurat diumumkan dan parlimen digantung, maka anak-anak muda mula berasa sangsi dengan kerajaan yang berkuasa sekarang.

Advertisement

Ketiga, anak-anak muda ini bukan buta politik atau tidak kritikal daya fikir mereka. Apabila kerajaan sesuka hati menggubal Ordinan Darurat untuk membolehkan dana-dana awam seperti Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) digunakan wangnya untuk membeli vaksin dan program vaksinasi, maka anak-anak muda yang berpelajaran itu mula bertanya: Ke mana pergi RM3 bilion dana belanjawan 2021 untuk membeli vaksin yang telah diluluskan oleh Parlimen?

Faktor keempat berkait dengan tindakan ahli-ahli politik yang melompat dari satu parti ke parti lain yang dengan tanpa malu mengkhianati mandat rakyat dalam PRU ke-14 dulu.

Anak-anak muda berasa jijik melihat perangai sesetengah ahli politik secara tidak beretika, tidak bermoral dan rakus menjual diri dan amanah rakyat untuk mengejar kedudukan politik, jawatan atau menyelamatkan diri dari pendakwaan pihak berkuasa lalu menyokong Kerajaan Pintu Belakang yang ada sekarang.

Advertisement

Ini semua menjadikan anak-anak muda mula tidak hormat pada orang-orang politik termasuk Perdana Menteri, menteri-menteri dan “establishment” serta elit berkuasa dan berpengaruh dalam negara sekarang.

Kelima, anak-anak muda telah muak dan bosan. Ini berpunca dari dasar-dasar yang tidak menghormati nilai-nilai demokrasi yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang yang angkuh dan sombong, dijelmakan melalui perlaksanan undang-undang secara “double standard” dan dua darjat dalam isu SOP dan hukumannya.

Satu set undang-undang untuk rakyat biasa dan satu set lagi untuk para VIP, selebriti dan para menteri. Hal ini telah menjadikan anak-anak muda berasa benci.

Advertisement

Faktor Keenam, anak-anak muda bukan tidak tahu bahawa kerajaan sekarang yang berlindung dibawah proklamasi darurat dan penggatungan Parlimen adalah sebuah Kerajaan yang tidak ada legitimasi atau keabsahan. Mereka menyaksikan secara terang dan nyata bahawa kerajaan yang ada sekarang takut dengan Usul Undi Kepercayaan dilakukan di Parlimen.

Jadi isu keabsahan atau legitimasi ini menjadikan kerajaan yang ada sekarang pada pandangan mata anak muda adalah sebuah kerajaan yang tidak sah taraf. Kerajaan tidak sah taraf ini tentu sekali tidak dapat mengundang penghormatan daripada anak-anak muda yang berpelajaran.

Dalam keadaan serba tidak stabil, tidak ada kepimpinan, tidak ada arah tuju, ibarat Malaysia kini sebagai sebuah kapal yang tiada kompas dan nakhoda yang berwibawa, terhumban dipukul ribut dan badai, menjadikan anak-anak muda hilang harapan dan hilang keyakinan masa hadapan mereka. Ini faktor yang ketujuh.

Advertisement

Ratusan ribu sekarang anak-anak muda Malaysia yang berpelajaran tinggi, yang bergelar graduan tetapi tidak ada pekerjaan. Tidak semua yang sanggup membawa motosikal sebagai penghantar makanan atau pekerja gig membawa Grab. Anak-anak muda itu berhutang dengan PTPTN beribu-ribu ringgit untuk ke universiti tetapi apabila tamat belajar tidak ada pekerjaan.

Apabila dalam satu tahun lebih sejak Mac 2020, tiga kali “lockdown” di bawah PKP dilaksanakan di negara ini, maka anak-anak muda berasa tertekan, tiada harapan, tiada masa depan. Ini faktor kelapan.

Jadi siapa yang boleh meyuarakan masalah dan kebimbangan mereka? Saluran bersuara ditutup. Akhirnya anak-anak muda ini melihat kepada diri mereka sendiri. Silap “posting” di facebook atau twitter maka Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia akan dikenakan ke atas mereka. Hukumannya termasuk penjara.

Advertisement

Jika anak-anak muda ini tersilap “posting” video di internet, maka Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan akan menghambat mereka. Hukuman penjara akan menjanjikan ke atas mereka.

Parlimen tempat wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk bersuara telahpun digantung. Anak-anak muda melihat semua ruang bersuara telah tertutup. Akhirnya anak-anak muda menyedari satu hakikat. Mereka tidak boleh mengharapkan sesiapa lagi.

Justeru itu maka berlakulah seperti apa yang telah berlaku termasuk peristiwa terbaru kebangkitan anak-anak muda di Parit Raja, Batu Pahat dua hari yang lalu.Anak-anak muda yang kesemuanya Melayu Islam bangun memprotes terhadap Kerajaan Melayu Islam yang gagal.

Advertisement

Hassan Abdul Karim merupakan ahli parlimen Pasir Gudang

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top