BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Adakah Ordinan Darurat 2021 membelenggu kuasa YDP Agong?

Hassan-Karim-MP-Pasir-Gudang.png
Advertisement

Oleh : Hassan Abdul Karim

Telah dimasyhurkan suatu ordinan yang diberi nama Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, berkuatkuasa pada 11 Januari 2021.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 inilah yang sekarang berkuatkuasa di seluruh Malaysia dalam tempoh darurat sejak 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021. Ordinan Darurat tersebut dimasyhurkan atas nama Yang di-Pertuan Agong.

Advertisement

Selayang pandang, kita melihat seolah-olah kuasa Yang di-Pertuan Agong begitu besar ketika negara berada di dalam Darurat. Tetapi hakikat sebenarnya tidak begitu. Seksyen 14(1) (a) Ordinan Darurat (kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telah membelenggu kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam isu memanggil Parlimen dibuka semula.

Seksyen 14(1) (a) menyatakan bahawa bagi tempoh darurat berkuatkuasa, peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan.

Siapa pihak atau orang yang boleh memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Advertisement

Orang itu ialah Yang di-Pertuan Agong. Bukan orang lain. Bukan pihak lain.Kuasa Yang di-Pertuan Agong telah dibelenggu di bawah Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat tersebut.

Fasal (1) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

Tarikh persidangan akhir Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (Tahun 2020) ialah pada 15 Disember 2020. Ini bermakna tempoh enam bulan itu ialah pada 14 Jun 2021. Tetapi setakat hari ini, tidak ada tanda-tanda jelas bilakah Yang di-Pertuan Agong akan memanggil sidang Parlimen.

Advertisement

Di dalam Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat tersebut menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika dibaca sepintas lalu, seolah-olah Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil sidang Parlimen mengikut kuasa budibicara baginda pada tarikh yang difikirkan sesuai.

Tidak semudah itu kuasa diberi kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Ordinan Darurat. Baginda perlu mendapatkan nasihat dari satu Jawatankuasa Khas Bebas di bawah Seksyen 2(1) Ordinan Darurat tersebut.

Di bawah Seksyen 2(2) Ordinan Darurat, dinyatakan bahawa anggota Jawatankuasa Khas Bebas tersebut dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Advertisement

Jawtankuasa Khas Bebas inilah di bawah Seksyen 2(1) yang ditugaskan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit Covid-19.

Kesimpulan yang mudah dan praktikal sekiranya Yang di-Pertuan Agong hendak memanggil semula Parlimen bersidang ialah dengan memansuhkan Seksyen14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Tetapi adakah Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budibicara untuk memansuhkan Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat tersebut? Jawapannya tidak. Ini adalah kerana Fasal (1) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Advertisement

Hassan Abdul Karim merupakan ahli parlimen Pasir Gudang

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top