BM | EN | 中文

Pampasan penamatan HSR: Singapura telah belanja lebih SGD270 juta

HSR-Parlimen-SG.png
Advertisement

SINGAPURA, 5 JAN: Pampasan penamatan kepada Singapura untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura akan merangkumi pelbagai kos menarik diri, tetapi bukan kos pembelian tanah berikutan nilai tanah itu boleh diperoleh semula.

Menteri Pengangkutan republik itu Ong Ye Kung berkata demikian dalam Parlimen semalam menjawab satu daripada soalan berkaitan HSR.

Beliau berkata Singapura telah membelanjakan lebih S$270 juta ke atas projek tersebut.

Advertisement

“Sebahagian daripada kos ini, seperti untuk perkhidmatan rundingan, reka bentuk infrastruktur dan tenaga kerja untuk melaksanakan projek itu, adalah kos menarik diri jika projek tersebut tidak diteruskan,” katanya.

Ong ditanya mengenai jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh Singapura setakat ini untuk projek tersebut dan apakah syarat-syarat yang dinyatakan dalam Perjanjian Dua Hala HSR berkaitan tuntutan pampasan selepas penamatan perjanjian itu oleh salah satu pihak.

Pada 1 Jan, Perdana Menteri Malaysia dan Singapura mengeluarkan kenyataan bersama mengenai berakhirnya Perjanjian Dua Hala HSR.

Advertisement

Berdasarkan Perjanjian Dua Hala dan syarat-syarat yang telah dipersetujui sebelum ini, Malaysia berkata ia akan memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian tersebut.

Menurut Ong, jumlah pampasan untuk penamatan dan jadual pembayaran telah dinyatakan dalam perjanjian itu.

“Selain itu, terdapat komponen kecil daripada kos menarik diri yang pelbagai untuk penangguhan projek yang diminta oleh Malaysia dan sedang disahkan oleh Singapura, sebelum kami mengemukakan kepada Malaysia,” katanya, lapor Bernama.

Advertisement

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pampasan tersebut bukan bersifat punitif, tetapi untuk membayar semula kos tertentu projek yang telah dibelanjakan oleh Singapura.

“Pihak kita sedang menunggu butiran kos tersebut daripada Singapura, dan sebaik sahaja diterima, ia akan diteliti sebelum disahkan. Jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telahpun dipersetujui bersama,” katanya.

Ong juga berkata berdasarkan tanggungjawab kerahsiaan di bawah Perjanjian Dua Hala HSR, Singapura tidak dapat mendedahkan syarat yang tepat berkaitan pampasan untuk penamatan projek HSR.

Advertisement

Setakat ini, katanya Singapura telah menerima kira-kira SGD15 juta daripada Malaysia, berikutan permintaan Malaysia untuk menangguhkan pembinaan projek HSR pada 2018, hingga Mei 2020.

Bagi pertanyaan lain sama ada Singapura akan mempertimbangkan projek seperti HSR dengan Malaysia, Ong menjawab, “sama ada kami terbuka untuk perbincangan pada masa depan, ia sudah tentu, tetapi ia perlu dengan lembaran baharu selepas kami menyelesaikan Perjanjian Dua Hala HSR ini.”

Mengenai sama ada pembatalan HSR akan memberi sebarang impak kepada Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru (JB)–Singapura, Ong berkata,”jawapan pendek untuk pertanyaan itu adalah tidak.”

Advertisement

“RTS berjalan dengan lancar setakat ini. JB telah mengadakan pecah tanah…pihak kami akan mengadakan pecah tanah tidak lama lagi. Kami berharap projek dan perkhidmatan itu dapat beroperasi pada 2026 seperti yang dijadualkan,” katanya.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top