BM | EN | 中文

Pakej PRIHATIN: Tambahan RM1 bilion untuk Kementerian Kesihatan

prihatin-kesihatan.jpg

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi meningkatkan lagi keupayaan kementerian tersebut, kata Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin.

Katanya kerajaan akan turut menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19 termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Selain itu, bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian COVID-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian saringan bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.

“Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini,” kata Muhyiddin dalam perutusan yang disiarkan secara langsung hari ini.

Tambahnya dalam pakej rangsangan ekonomi yang pertama, kerajaan juga telah bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan
kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini.

“Dalam situasi getir pada waktu ini, kakitangan kesihatan kita sedang bekerja bertungkus lumus dalam keletihan dan keadaan yang agak tertekan. Namun mereka terus cekal berjuang mengharungi cabaran yang hebat ini.

“Sebagai menghargai pengorbanan mereka, kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir,” kata Muhyiddin.

Katanya, kerajaan turut bersetuju memanjangkan elaun khas RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir dan dianggarkan 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat ini.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top