PONTIAN, 27 OKT: Pakatan Harapan akan memperkenalkan calon bagi mewakili gabungan itu dalam pilihanraya kecil (PRK) Tanjung Piai esok.
Menurut kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Wira Marzuki Yahya, majlis bagi memperkenalkan calon tersebut akan diadakan di Dewan Hai Kee, Jalan Johor, Batu 34, Pontian pada jam 2.00 petang.
“Kepimpinan negeri dan bahagian masing-masing dijemput hadir demi sokongan dan memperlihatkan kekuatan BERSATU,” kata Marzuki dalam satu kenyataan hari ini.
Pada program sama, suatu majlis pelancaran jentera PRK P165 Tanjung Piai akan turut diadakan.
Pilihanraya kecil (PRK) Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November depan manakala penamaan calon adalah pada 2 November 2019
Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi Parlimen tersebut selepas penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42 tahun, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunua di Hospital Pontian, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
Johorkini