BM | EN | 中文

PAJ mula sediakan bas bantu pejalan kaki rentas sempadan di Tambak Johor

PAJ-pengangkutan-awam-johor.png

JOHOR BAHRU, 18 OGOS: Menyedari kesukaran sesetengah pengguna yang merentas sempadan di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) di Tambak Johor mulai semalam, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) telah mula menyediakan perkhidmatan bas bagi membantu pejalan kaki di laluan berkenaan bermula petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Insfrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata perkhidmatan yang baru bermula pukul 5.00 petang semalam disediakan setelah pihaknya membuat penyelarasan iaitu membabitkan operator bas, PLUS Malaysia Bhd (PLUS), polis, imigresen dan semua agensi yang terlibat.

“Perkhidmatan bas ini mula disediakan pada pukul 5.00 petang, kebetulan keadaan hujan dan bas berjaya membawa tiga penumpang.

“Namun, setakat pukul 6.00 petang didapati tiada lagi pejalan kaki kelihatan dari arah Singapura ke Johor, mungkin mereka masih berteduh di tempat pemeriksaan kastam di republik itu,” katanya menerusi kenyataan, di sini, semalam.

Mohd Solihan berkata perkhidmatan bas akan disambung semula esok dan kekerapan perjalanan adalah bergantung kepada jumlah pejalan kaki yang menggunakan Tambak Johor.

Selepas 153 hari menutup sempadan, kerajaan membenarkan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) mulai semalam.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top