BM | EN | 中文

Pahang wujudkan Pasukan Petugas Tioman sebagai persediaan terima pelancong

tioman-salang.jpg

Gambar Ehsan zazaiman.com

Advertisement

KUANTAN, 22 SEPT: Kerajaan Pahang mewujudkan Pasukan Petugas Tioman yang dianggotai pelbagai agensi dan jabatan bagi tujuan pematuhan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) apabila sektor pelancongan Pulau Tioman kembali dibuka 1 Okt ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata pasukan petugas itu dipengerusikan Pegawai Daerah Rompin dan mempunyai enam jawatankuasa iaitu pandemik, keselamatan, kawalan pintu masuk, pelancongan, pengindahan bandar dan komuniti.

Sebagai contoh, aspek pandemik dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Hospital Rompin, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, imigresen, polls, kastam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi kawalan pintu masuk manakala Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Tourism Pahang dan Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Tioman dipertanggungjawabkan kepada aspek pelancongan.

Advertisement

Pelancong boleh membeli kit kendiri saringan di jeti atau di tempat lain namun ujian mesti dilakukan di terminal jeti, dengan mereka yang positif akan terus dibawa ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sebelum ke Hospital Rompin atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) terdekat.

Berhubung aktiviti dibenarkan, Mohd Sharkar berkata selain produk tarikan utama di Pulau Tioman seperti aktiviti pantai dan sukan air, selam permukaan dan selam skuba, sukan lasak atau pengembaraan, turut dibolehkan ialah memancing, pelayaran, berbasikal, berkhemah, mendaki gunung dan lawatan akademik ke Taman Laut.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memilih Pulau Tioman sebagai antara destinasi awal dibuka semula kerana 90 peratus penduduk pulau itu bergantung sepenuhnya kepada pelancongan.

Advertisement

“Mereka kini sekurang-kurangnya mempunyai sedikit masa untuk mencari rezeki sebelum terpaksa dihentikan pada 15 Dis depan kerana musim tengkujuh dan kembali beroperasi pada Mac 2022. Jika tidak dibuka (kali ini) bermakna sudah dua tahun mereka tidak boleh beroperasi,” katanya.

Di Pulau Tioman terdapat 103 hotel dan inap desa yang menyediakan 1,821 bilik, 88 orang pemandu bot, 30 pusat selam dan pada 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda, ia menerima kehadiran 276,232 pelancong termasuk 86,257 pelancong antarabangsa.

Sehubungan itu, Mohd Sharkar juga berharap Kerajaan Persekutuan dan MKN dapat mempertimbangkan lebih banyak pulau peranginan di
Pantai Timur dibenarkan beroperasi semula bagi membantu penduduk tempatan di situ, selain mengambil kira mereka juga sudah mencapai imuniti kelompok menerusi pengambilan vaksin COVID-19.

Advertisement

Mengambil contoh Pulau Tioman, Mohd Sharkar berkata seramai 2,200 penduduk yang layak menerima vaksin COVID-19 sudah lengkap menerima suntikan vaksin Sinovac pada 27 Jun hingga 4 Julai bagi dos pertama disusuli dos kedua antara 26 hingga 29 Julai lepas.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sharkar berharap Kerajaan Persekutuan dapat membenarkan lebih banyak lokasi pelancongan di Pahang kembali beroperasi memandangkan imuniti kelompok juga telah dicapai di Bukit Fraser, Janda Baik, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Taman Negara, Taman Negeri Rompin dan Cameron Highlands.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top