PONTIAN, 2 JUN: Penduduk di kawasan parlimen Pagoh terutamanya di Bukit Gambir, menghadapi masalah akibat ketiadaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menurut Adun dah ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) Johor, pendaftar vaksin termasuk warga emas perlu ke bandar Tangkak yang terletak sejauh 25km dari Bukit Gambir.
“Namun demikian, untuk menerima vaksin Covid warga emas diminta untuk pergi sampai ke Bandar Tangkak yang terletak sejauh 25km dari Bukit Gambir.
“Sudah tentu masalah pengangkutan mengekang lebih ramai warga emas daripada berdaftar dan menerima vaksin secepat mungkin,” menurut kenyataan bersama ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan Adun Skudai, Tan Hong Pin.
Menurut kenyataan itu, parlimen Pagoh memiliki bilangan penduduk kir-kira 80,000 orang.
“Berdepan dengan cabaran vaksinasi, keadaan di Pagoh lebih kurang sama dengan Gambir.
“Sampai hari ini PPV belum tersedia. Kita dengar ada usaha untuk menyediakan sebuah PPV di Pekan Pagoh sebelum pertengahan Jun sekiranya isu-isu peralatan dan logistik dapat ditangani cepat.
“Sebenarnya, kedua-dua Bukit Gambir dan Pagoh agak teruk diserang wabak penyakit Covid sejak 2020.
“Berdasarkan statistik yang diumumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, contohnya di Mukim Jorak dan Mukim Grisek di Pagoh masih mempunyai 354 kes dan 181 kes aktif, masing-masing.
“Malangnya, ada yang telah pun mati. Peningkatan mendadak kes Covid telah mendorong semua untuk mendaftarkan diri untuk vaksin tetapi kebanyakan masih menunggu dalam kegusaran,” ujarnya lagi.
Tambah kenyataan itu, nasib dan cabaran yang dihadapi penduduk Pagoh dan Bukit Gambir adalah sama dengan rakyat di pekan-pekan kecil dan penempatan luar bandar di Johor.
“Di negeri yang mempunyai jumlah penduduk seramai 3.6 juta ini, lebih kurang 1.51 juta orang telah berdaftar untuk vaksin Covid (kemaskini 31 Mei 2021).
“Namun bilangan PPV cuma ada 26 buah sahaja mengikut senarai dalam laman web rasmi www.vaksincovid.gov.my.
“Bilangan PPV yang terbaru mungkin telah mencecah 35 buah kerana dimaklumkan ada beberapa buah pusat yang baru buka di hospital swasta baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, mengikut nisbah, bermakna setiap satu PPV bilangan penduduk yang ditampung adalah secara purata 50,000 orang (bersamaan 100,000 dos vaksin) di Johor.
“Angka nisbah yang amat teruk berbanding dengan negeri lain,” tambah kenyataan itu lagi.
Johorkini