KLUANG, 22 JUN: Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali berharap agar kerajaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar dapat memberi penjelasan berhubung isu fatwa Amanat Hadi.
Ia susulan tular di laman media sosial mengenai amanat di laman sesawang Jakim yang dikatakan telah dipadam.
:Saya merujuk berita sepertimana dilaporkan berhubung dakwaan memadam fatwa Amanat Hadi di laman sesawang Jakim yang tular di Twitter baru-baru ini.
“Sebagai seorang bekas ahli PAS yang pernah didoktrin dengan ‘Amanat Hadi’ untuk menjustifikasi perlawanan dengan UMNO, perkara seumpama ini pastinya membuatkan saya tertunggu-tunggu ulasan rasmi dari Jakim.
“Bahkan, Majlis Fatwa Kebangsaan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama sepatutnya turut memberikan penjelasan.
“Rakyat berhak diberi penjelasan. Bahkan ahli-ahli PAS, bekas-bekas ahli serta mereka yang pernah menerima tarbiyah PAS juga seharusnya mendapat penjelasan berkaitan duduk letaknya perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan,” kata Sheikh Umar dalam satu kenyataan hari ini.
Kata bekas Exco Johor itu, berdasarkan pengalaman peribadi, Amanat Hadi telah memberi kesan besar khususnya dalam arena dakwah serta siyasah tanah air.
Ujarnya, sebagai orang muda dalam PAS lebih 10 tahun dahulu, beliau memahami bagaimana fenomena sembahyang dua imam, tidak makan haiwan sembelihan mereka yang bersetuju dengan pemimpin UMNO, memperbaharui semula akad pernikahan dan sebagainya.
“Amanat Hadi turut memberi impak terhadap budaya takfiri dikalangan masyarakat kita.
“Saya mengharapkan penjelasan yang sewajarnya diberikan segera.
“Perkara ini juga penting khususnya setelah PAS mengambil sikap yang berbeza berbanding dahulu menerusi kerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional pada masa ini,” katanya lagi.
Johorkini