BM | EN | 中文

Osman Sapian akan jadi Adun bebas kalau dipecat parti – Laporan

Bersatu_Johor_PPBM_osman_sapian.jpg

JOHOR BAHRU, 1 SEPT: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian akan menjadi Adun bebas sekiranya dipecat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malaysiakini dalam laporannya memetik Adun Kempas itu sekiranya dipecat parti, beliau akan duduk sebagai Adun bebas dalam DUN Johor.

Malah Osman dilaporkan berkata, belum pasti tindakan selanjutnya yang akan diambil sama ada menyertai parti lain atau tidak.

“Namun, jika tidak (dipecat), kerusi saya pada sidang DUN Johor minggu hadapan masih lagi di sebelah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Adun Gambir,” kata Osman.

Osman menarik perhatian ramai apabila muncul menjelang hari mengundi pilihan raya kecil Slim baru-baru ini dan didakwa berkempen untuk calon bebas yang disokong bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

Ia mendorong pimpinan Bersatu Pulai berhajat untuk merujuk Osman kepada lembaga disiplin parti.

Sebarang perkembangan membabitkan Adun Johor memang memberi kesan kepada kerajaan negeri.

Ketika Perikatan Nasional (PN) hanya memiliki kelebihan satu kerusi saja berbanding Pakatan Harapan (PH) dalam DUN, sebarang langkah anggotanya akan memberi kesan besar kepada negeri tersebut, termasuk bertukar kerajaan.

Kemungkinan lain adalah DUN Johor akan tergantung apabila PN dan PH masing-masing memiliki jumlah Adun yang sama.

Sebelum ini perubahan kerajaan didakwa hampir berlaku apabila beberapa Adun Bersatu menyatakan kesediaan kembali kepada PH kerana tidak berpuas hati dengan layanan Umno kepada parti mereka.

Kata Osman lagi, jika dia dipecat daripada Bersatu, keputusan itu akan diterimanya namun sehingga 10 Sept ini – apabila DUN Johor bersidang – kedudukannya mungkin akan dipastikan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top