JOHOR BAHRU, 21 OKT : Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menafikan beliau adalah calon daripada Bersatu yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecik (PRK) Tanjung Piai yang akan berlangsung pada bulan depan.
Sebaliknya, Adun Kempas itu berpendapat perkara tersebut sengaja disensasikan oleh pihak tertentu semata-mata untuk menghangatkan lagi demam PRK di kawasan berkenaan.
“Saya tidak tahu apa-apa. Saya sendiri terperanjat. Pagi ini, telefon saya berdering-dering yang mana banyak pihak telah menghubungi saya serta mengucapkan tahniah atas pencalonan saya,” katanya ketika dihubungi JohorKini.
Tambahnya lagi, sejujurnya, beliau tidak menerima sebarang jemputan daripada parti yang diwakilinya berkenaan pencalonannya.
“Biasanya, nama saya selalu mendapat gosip. Saya kira, pihak tertentu mainkan isu ini selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) ada mengeluarkan kenyataan tentang calon yang bakal dipilih.
“Calon berkenaan katanya adalah seorang yang mempunyai pengalaman luas dalam politik dan sebagainya. Jadi, apabila melihat sekeliling, pihak tertentu cuba kaitkan dengan saya pula,” katanya.
Terdahulu, tersebar poster di laman sosial yang menggambarkan Setiausaha PH negeri itu menjadi calon PH untuk PRK Tanjung Piai.
Bagaimanapun, beliau meletakkan soal calon yang bakal bertanding di situ kepada pucuk pimpinan dan sentiasa memberi sokongan untuk memastikan kerusi berkenaan kekal menjadi milik PH.
Terdahulu, Osman sememangnya berasal daripada Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian dan sememangnya bersekolah di daerah berkenaan sehingga tamat tingkatan lima.
JohorKini