JOHOR BAHRU, 18 FEB: Seramai 40 penternak menerima sumbangan berupa peralatan dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM100,000 pada Program Sayangi Rakan Penternak anjuran syarikat Osman Goat Farm.
Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, program itu merupakan inisiatifnya untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.
Katanya, dia juga memulakan perusahaan penternakan kambing dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor pada tahun 1993.
“Saya sendiri mendapat bantuan semasa baharu memulakan perusahaan ini, jadi ini adalah inisiatif saya dalam membantu lebih ramai penternak di negeri ini.
“Saya juga berharap sumbangan ini dapat menyuntik semangat mereka untuk terus berjaya di masa depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Program Sayangi Rakan Penternak di Osman Goat Farm, Kangkar Tebrau, kelmarin.
Hadir menyempurnakan majlis, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi.
Tambah Osman, kesemua 40 penerima sumbangan merupakan penternak muda yang menunjukkan komitmen dalam bidang penternakan.
“Selain memberi sumbangan berbentuk peralatan, kami akan turut membantu mana-mana individu yang menunjukkan komitmen tinggi untuk berjaya dalam bidang ini,” ujarnya lanjut.
Johorkini