JOHOR BAHRU, 26 SEPT: Terminal Feri Antarabangsa Kukup bakal beroperasi semula di Pontian selewat-lewatnya 15 Oktober ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Solihan Badri.
Menurutnya, terminal yang menyediakan perjalanan feri ke Tanjung Balai, Indonesia itu akan terus dikendalikan oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) sehingga keputusan melantik pengendali baru dilakukan.
“Setakat ini, sebanyak RM500,000 telah dibelanjakan untuk penambahbaikkan fasiliti-fasiliti di terminal tersebut.
“Ini termasuklah penambahbaikkan sistem kumbahan, sistem komputer, penghawa dingin serta perabut-perabut di situ,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan pertandingan model jambatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.
Solihan yang juga Adun Tenang berkata, selepas konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut ditamatkan, beberapa pembetulan sedang giat dilakukan.
“Sebahagian peralatan di terminal itu adalah kepunyaan mereka (pihak konsesi syarikat sebelum ini), maka sebelum terminal itu kembali beroperasi, penambahbaikan harus dilakukan,” katanya lagi.
Terdahulu dilaporkan, operasi di terminal itu dihentikan sementara mulai 1 September lepas dan perkhidmatannya dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour.
Penghentian sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut ketika itu.
Johorkini