BM | EN | 中文

Op Selat: Tujuh pegawai imigresen dihadapkan ke lima Mahkamah Sesyen negeri berasingan

SPRM-MACC.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Tujuh pegawai Imigresen dihadapkan ke lima Mahkamah Sesyen negeri berasingan semalam susulan Op Selat baru-baru ini, dengan tiga daripada mereka dijatuhi hukuman penjara antara 30 hari dan 12 bulan serta denda antara RM12,000 dan RM30,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Op Selat digerakkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen bagi membanteras sindiket rasuah dalam pemalsuan cap kemasukan bagi melintasi sempadan negara.

Kesemua pegawai berkenaan menghadapi pertuduhan memperoleh wang tanpa balasan daripada individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan mereka dan kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara April 2018 hingga 22 Sept lepas.

Advertisement

Mereka dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan pilihan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM berhubung penyalahgunaan perakuan cop keluar dan masuk pada pasport warga asing.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Azhar Ahmad M Salbi, 27, yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, dipenjara 12 bulan dan denda RM20,000 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah gagal melaporkan wang suapan RM1,250 yang diberikan kepadanya oleh dua lelaki melalui akaun simpanan milik tertuduh, di CIMB Bank Bhd, Jalan Genuang, Segamat.

Di mahkamah sama, Syafik Abu Khalipah, 25, yang juga bertugas di Jabatan Imigresen cawangan sama, pula mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan memperoleh RM24,395 tanpa balasan daripada dua lelaki sama di Larkin Perdana, Johor Bahru dan dua pertuduhan pilihan gagal melaporkan wang suapan RM24,395 yang diberikan kepadanya oleh individu sama.

Di Mahkamah Sesyen Butterworth, Akashah Roslan, 38, yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor, dipenjara 30 hari dan denda RM12,000 atau empat bulan penjara, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memperoleh wang berjumlah RM3,060 daripada seorang lelaki melalui akaun simpanan CIMB milik tertuduh, di Jalan Mahsuri, Bandar Bayan Baru, Butterworth.

Advertisement

Di Mahkamah Sesyen Melaka, Muhammad Shafiq Suboh, 29, yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor, didenda RM30,000 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan gagal melaporkan kepada SPRM wang suapan berjumlah RM1,480 yang diberikan kepadanya oleh seorang lelaki, di CIMB Bank Berhad di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam, Melaka.

Di Mahkamah Kota Bharu, Mohamad Hariss Rosli, 27, yang bertugas di Jabatan Imigresen, Johor, berdepan 31 pertuduhan memperoleh wang berjumlah RM132,020 daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi melalui akaun Maybank Islamic miliknya di Kota Bharu, Kelantan.

Tertuduh bagaimanapun hanya mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan membabitkan jumlah wang RM51,300 dan mahkamah menetapkan 22 Dis ini untuk menjatuhkan hukuman.

Advertisement

Di mahkamah sama, Fasmawi Ab Wahab, 24, yang juga bertugas di Jabatan Imigresen, Johor, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memperoleh wang berjumlah RM1,400 daripada seorang individu melalui akaun Maybank Islamic Berhad miliknya di Jalan Hulu Pasar, Tumpat, Kelantan, dan mahkamah turut menetapkan 22 Dis untuk menjatuhkan hukuman.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Baliyan Mohd Bhanudin, 32, yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memperoleh RM7,120 daripada dua individu dan empat pertuduhan pilihan gagal melaporkan kepada SPRM wang suapan berjumlah sama, yang diberikan kepadanya oleh individu sama, di sebuah bank di Seksyen 20, Shah Alam.

Mahkamah menetapkan 18 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes.

Advertisement

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, warga Bangladesh, Ahmmed Md Rana, 37, didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah memberi suapan RM8,500 kepada seorang pegawai Imigresen di Unit Kawalan Pintu Masuk Udara di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, sebagai upah membantu melepaskan lapan rakyat senegaranya pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang, di Presint 8, Putrajaya, bulan lepas.

Dia dihukum mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top