BM | EN | 中文

Odeje, aplikasi penghantaran makanan, minuman halal dijangka beroperasi di seluruh Johor

Odeje.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 28 OKT: Odejee, aplikasi penghantaran makanan dan minuman halal yang pertama di negara ini, dijangka memulakan operasinya di sekitar bandar raya ini dan kawasan sekitarnya, akhir bulan depan.

Pengerusi Odeje Datuk Seri Ismail Alwasi Khan berkata dengan slogan ‘Halal, Amal, Berkat’, seramai kira-kira 600 vendor setakat ini sudah menyatakan hasrat untuk menyertai Odeje.

“Semua vendor makanan dan minuman yang berdaftar dengan Odeje adalah berstatus halal selain dimiliki dan diusahakan oleh umat Islam.

Advertisement

“Buat permulaan, Odeje akan beroperasi di sekitar bandar raya Johor Bahru dan kawasan sekitar seperti Pasir Gudang, Senai dan Kulai menerusi kira-kira 500 orang penghantar makanan dan minuman sebelum disasarkan ke seluruh negeri ini pada Disember depan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pejabat Odeje di sini semalam.

Perasmian berkenaan dilakukan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Dr Noh Gadut dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Odeje Yusaini Ali.

Ismail berkata dalam suku pertama tahun depan, pihaknya merancang untuk melebarkan sayap perniagaan ke Lembah Klang sebelum disusuli Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya seluruh negara.

Advertisement

Potensi segmen penghantaran makanan dan minuman secara dalam talian kini amat luas di negeri ini berikutan pandemik COVID-19, namun, Odeje diwujudkan bukan bertujuan bersaing dengan aplikasi penghantaran makanan sedia ada, sebaliknya bagi memenuhi permintaan terhadap makanan yang dihantar agar terjamin status halal dan suci, khususnya bagi pelanggan beragama Islam.

“Sehingga kini belum ada aplikasi pembelian makanan dalam talian yang menumpukan kepada makanan yang benar-benar halal dan tidak was-was di kalangan pengguna.

“Maka, tercetuslah idea untuk mewujudkan aplikasi Odeje sejak beberapa bulan lalu dan ia akan dibangunkan secara berperingkat termasuk Odeje Makanan, Odeje Penghantar, Odeje Mart dan Odeje Servis,” katanya dengan menambah pelanggan Odeje tidak tertakluk kepada umat Islam sahaja, malah semua lapisan masyarakat.

Advertisement

Menurut Ismail, sebanyak 10 peratus keuntungan yang diperoleh Odeje juga akan disumbangkan kepada Tabung Wakaf Rakyat Johor.

Sementara itu, Noh berkata usaha dilakukan Odeje merupakan satu jihad ekonomi bagi umat Islam.

“Ini merupakan usaha amat baik bagi memastikan makanan yang dibekalkan kepada pelanggan adalah halal dan suci seperti yang dituntut oleh agama Islam. Tindakan Odeje menyediakan pilihan seumpama ini wajar disokong oleh semua pihak khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top