JOHOR BAHRU, 23 DIS: Pengendali aplikasi penghantar makanan halal pertama di Malaysia, Ode Jee menjalin kerjasama dengan lapan pemain industri bagi membentuk konsortium yang dikenali sebagai Ode Halal.Asia.
Lapan syarikat berkenaan adalah Mars Global Sdn Bhd, Holistic Labs Sdn Bhd, JT Lab Sdn Bhd, AR Mechatronics Plt.Ltd, IM Digital Sdn Bhd, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), OSB Global Resources Sdn Bhd dan JME Resources Sdn Bhd.
Pengerusi Ode Jee Datuk Seri Ismail Alwasi Khan berkata konsortium tersebut akan bekerjasama rapat dalam pembangunan produk dan aplikasi, menganjurkan kursus serta melahirkan lebih ramai usahawan baharu bagi menceburi industri halal.
“Konsortium ini diketuai oleh Ode Jee dan dianggotai IM Digital, Holistic Labs, JT Lab termasuk AR Mechantronics. Konsortium ini berperanan meneroka pelbagai peluang baharu bukan sahaja di negeri ini dan Malaysia malah ke rantau Asia,” katanya, lapor Bernama.
Terdahulu beliau menghadiri majlis pra pelancaran aplikasi Ode Jee serta perjanjian persefahaman Konsortium Ode Halal.Asia, di sini semalam.
Pra pelancaran tersebut dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad.
Menurut Ismail, pada masa yang sama, Ode Jee turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat Mars Global, Presma, OSB dan JME Resources Sdn Bhd dalam pelbagai bidang termasuk pembekalan produk serta pengukuhan vendor dan penghantar makanan.
Beliau berkata Ode Jee yakin kerjasama terbabit akan dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Johor.
“Aplikasi Ode Jee kini dalam fasa akhir penubuhannya dan dijangka boleh dimuat turun oleh orang ramai pada penghujung bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Izhar berkata selain menyediakan peluang pekerjaan, Ode Jee turut dapat membantu ramai vendor yang terjejas perniagaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya yakin dengan kerjasama Ode Jee dengan beberapa syarikat dalam menubuhkan Konsortium Ode Halal.Asia ini, ia mampu melonjakkan lagi industri halal di negeri ini serta negara,” katanya.
Pada masa ini, Ode Jee sudah mempunyai kira-kira 1,200 vendor di seluruh Johor dan lebih 200 penghantar makanan.
Johorkini