BM | EN | 中文

Nur Jazlan perlu nasihat MB Johor letak jawatan lebih dahulu

Nur_Jazlan.jpg

Nur Jazlan

JOHOR BAHRU, 31 OGOS: Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed dicabar untuk menasihatkan pengerusi partinya di Johor untuk melepaskan jawatan Menteri Besar (MB) sebelum menyokong kenyataan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Abdul Hamid Jamah berkata, jawatan Menteri Besar yang diperolehi Datuk Hasni Mohamad adalah hasil bantuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Umno hingga terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Abdul Hamid Jamah

“Jazlan mungkin lupa di Johor juga ada MB yang mendapat jawatan itu hasil tertubuhnya Perikatan Nasional (PN).

“Sekiranya Jazlan mahu mencadangkan hal demikian, lebih baik dia cadang untuk Hasni undur diri sebagai MB dan berikan semula mandat kepada Pakatan Harapan (PH).

“Beliau sebagai Timbalan Pengerusi Umno Johor dan Hasni adalah Pengerusinya. Pasti perbincangan di antara kedua individu ini boleh dilakukan.

“Dia (Jazlan) mungkin tak perasan akan perkara itu dan kini sudah tiba masanya untuk beliau memulangkan semula mandat rakyat yang dikhianati oleh Umno dan PN. Sampai masanya (PRU) serahkan semula kepada rakyat bukan merampas kuasa ditengah jalan,” katanya.

Nur Jazlan dalam kenyataan pada 29 Ogos menyokong gesaan veteran Umno, Ku Li agar menteri dan timbalan menteri Umno meninggalkan kabinet kerajaan PN.

Katanya, cadangan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu tepat pada masanya disebabkan Bersatu membuka kemasukan kepada ahli bukan Melayu ke dalam parti itu.

Terdahulu pada 28 Ogos, Ku Li berkata, tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam “pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)”.

Justeru itu Hamid berkata, kenyataan Jazlan itu hanya sekadar retorik bagi menyatakan kepada umum bahawa Umno mempunyai prinsip.

“Itu hanya cakap-cakap kosong atau retorik. Saya ingin mencabar Jazlan untuk melakukan perkara itu di Johor terlebih dahulu sebelum menyatakan hasrat ke peringkat nasional atau pusat.

“Ia juga seperti ugutan kepada rakannya dalam PN bukan satu perkara yang serius. Ini kerana Umno juga mulai tergugat dengan kehadiran Bersatu kerana pastinya kehadiran Bersatu akan mengurangkan lagi penguasaan kerusi Umno di semua tempat.

“Kerajaan PN hari ini juga adalah sebuah kerajaan yang rapuh kerana pelbagai pihak boleh bersuara dan mengugut pada bila-bila masa.

“Akhirnya rakyat akan tersisih kerana Perdana Menteri hari ini hanya memikirkan soal menyelamatkan keadaan atau kedudukannya sahaja,” katanya lagi.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top