MUAR, 24 MAC: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad didesak memberi penjelasan berkenaan isu salah laku seksual melibatkan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Mohd Faizul Salleh berkata kes itu akan mencemarkan nama baik universiti berkenaan.
“Isu ini bukan isu terpencil. Kita tidak mahu ianya tergantung dan tidak terjawab.
“Penjelasan perlu diberikan untuk mengurangkan kesan dari tanggapan orang ramai.
“Perkara ini serius. Kerajaan perlu segera menangani hal terbabit dan ia tidak boleh dibiarkan,” tegasnya ketika dihubungi.
Media semalam melaporkan, mahkamah tinggi Kuala Lumpur memutuskan sekumpulan pensyarah dan pelajar dari UIAM kalah dalam perbicaraan melibatkan isu berkenaan.
Keputusan yang tidak memihak kepada kumpulan pensyarah dan pelajar itu menimbulkan pelbagai persoalan.
Plaintif, Dr Afareez Abdul Razak yang merupakan pensyarah UIAM menyaman sekumpulan pensyarah berjaya memenangi saman fitnah berkenaan.
Justeru itu kata Faizul, Noraini tidak boleh mendiamkan diri dan membiarkan tanggapan serta persoalan terus berlegar sehingga nama baik UIAM tercemar.
“Jangan hanya sibuk mahu ber’tik-tok’ sahaja sehingga lupa tugas hakiki dalam memelihara nama baik IPT di negara ini.
“Pemulihan nama baik UIAM perlu diusahakan dengan memberi penjelasan kepada umum berkenaan keadaan sebenar yang berlaku,” tegasnya lagi.
Johorkini