BM | EN | 中文

Nombor plat kenderaan ‘UTM’ terjual hampir 1,000 dengan nilai RM1.6 juta

Nombor-plat-pendaftaran-khas-UTM.jpg

Gambar Ehsan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

JOHOR BAHRU, 31 OGOS: Nombor pendaftaran khas kenderaan ‘UTM’ yang dibuka bidaan jualan sejak 2 Dis lepas, sudah terjual hampir 1,000 nombor, yang melibatkan nilai RM1.6 juta.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM Prof Dr Mohd Hamdan Ahmad berkata universiti itu yang merupakan universiti pertama menjual nombor pendaftaran khas di negara ini, menyasarkan untuk mengutip lebih RM15 juta menerusi jualan berkenaan bagi mengisi dana Tabung Endowmen.

“Kami sudah mendekati 1,000 nombor terjual dan ada baki 9,000 nombor lagi untuk dijual dalam masa dua tahun sebab perjanjian dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah dalam tempoh tiga tahun,” katanya yang ditemui pemberita pada penutup Konvoi Merdeka UTM 2020, di Yayasan Warisan Johor, di sini semalam.

Mohd Hamdan berkata pelbagai promosi akan digiatkan UTM untuk mencapai sasaran jualan berkenaan termasuk menerusi konvoi yang dilakukan hari ini.

Beliau berkata daripada 1,000 nombor yang sudah dijual berkenaan, bidaan tertinggi adalah melibatkan nilai RM100,000.

“Kesemua nombor pendaftaran khas kenderaan berkenaan bukan sahaja dibeli staf, pelajar dan alumni UTM malah orang awam di seluruh negara.

“Bagi menarik pembeli, UTM turut menawarkan diskaun sempena merdeka, antara 25 peratus dan 50 peratus mengikut kategori staf, pelajar, alumni serta orang awam, mulai 1 Ogos lepas hingga 16 Sept depan,” katanya.

Sementara itu, mengenai konvoi berkereta dan motosikal tersebut, Mohd Hamdan berkata ia bertujuan menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara khususnya mengukuhkan hubungan antara UTM dan alumninya.

Beliau berkata konvoi tersebut yang bermula di Padang Kawad, UTM telah melalui beberapa lokasi termasuk Dewan Raya Gelang Patah dan Kota Iskandar sebelum berakhir di Yayasan Warisan Johor.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top