BM | EN | 中文

Nilai semula peruntukan Briged ASWAJA, lebih baik bangunkan kandungan rohani secara digital – Adun Maharani

Nor-Hayati-Bachok-Adun-Maharani.png

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Johor dan juga Adun Maharani, Nor Hayati Bachok

Advertisement

KOTA ISKANDAR, 4 DIS: Peruntukan RM300,000 kepada Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) untuk masjid dan surau yang dibentang dalam Belanjawan Johor 2021 perlu diteliti semula, kata Adun Maharani, Nor Hayati Bachok.

Beliau dalam perbahasan belanjawan Johor di sidang Dun Johor berkata, bentuk inisiatif yang bakal dilaksanakan menerusi teras Pemerkasaan Syiar Islam tidak boleh hanya bersifat fizikal dan material.

Sebaliknya penghayatan nilai dan aspek pemerkasaan kerohanian rakyat tatkala dibelenggu pandemik Covid 19 perlu dilakukan, termasuk inovasi kandungan digital.

Advertisement

“Dalam konteks norma baharu ini, pendekatan kita dalam mengembangkan syiar Islam ini juga harus diperbaharui melalui inovasi agar kekal relevan dalam situasi semasa.

“Saya menggesa Kerajaan Johor menilai semula cadangan penubuhan Briged ASWAJA untuk masjid dan surau.

“Sebaliknya peruntukan RM300,000 itu sebaik-baiknya diagihkan bagi membina ‘content’ keagamaan dalam bentuk digital.

Advertisement

“Ia seperti khutbah online, e-book keagamaan, pengajian Al-Quran dan Hadith secara maya. Bila ramai yang tidak dapat ke masjid, pergerakan dihadkan dan kuliah-kuliah tidak dapat diadakan, inilah yang sewajarnya menjadi norma baharu kita,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor berkata, kesannya lebih baik berbanding peruntukan kepada briged ASWAJA itu.

Beliau turut menyentuh soal yang berbangkit berkenaan dengan masalah sosial yang berlaku di kalangan masyarakat akibat dari kesan ekonomi yang melanda mereka.

Advertisement

“Malangnya terlalu sedikit peruntukan dan perhatian diberikan bagi menangani kesan-kesan sosial akibat krisis ekonomi dan kesihatan era pandemik ini.

“Belanjawan 2021 sewajarnya menekankan pembinaan semula masyarakat yang lebih holistik, bukan semata-mata kemakmuran ekonomi.
“Kegelisahan dan kebimbangan adalah separuh daripada penyakit itu sendiri dan ketenangan adalah separuh daripada ubatnya serta kesabaran adalah awal dari kesembuhannya.

“Saya menyeru kerajaan turut menilai keutamaan-keutamaan dalam perlaksanaan dengan menjadikan keutamaan bagi sesebuah kerajaan ialah memastikan rakyat sentiasa diupayakan bukan hanya dari sudut fizikal dan material semata-mata sebaliknya rakyat harus diperkasakan dari sudut nilai, jati diri, daya saing, emosi dan sahsiah,” ujarnya lagi.

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top