BM | EN | 中文

Nilai eksport perabot kayu dijangka cecah lebih RM13 bilion

Nilai-eksport-perabot-kayu-dijangka-cecah-lebih-RM13-bilion.jpg

Gambar Ehsan FB Zuraida Kamaruddin

Advertisement

MUAR, 12 OKT: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengunjurkan nilai eksport perabot kayu negara bagi tahun ini mencecah lebih RM13 bilion berbanding RM12.8 bilion pada tahun lepas.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yakin angka itu mampu dicapai memandangkan industri perabot berkenaan terbukti mencatat jualan yang membanggakan meskipun berdepan pandemik Covid-19.

Malah, beliau berkata, bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2021, nilai eksport perabot mencatatkan RM6.6 bilion — peningkatan sebanyak 5.2 peratus berbanding RM6.2 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Advertisement

“Walaupun dalam keadaan pandemik dan berdepan dengan penurunan bekalan akibat masalah logistik, Perintah Kawalan Pergerakan dan sebagainya, namun industri perabot masih stabil daripada segi nilai eksport. Oleh itu, saya jangka tahun ini kita akan capai lebih RM13 bilion.

“Akhir tahun ini iaitu Oktober sehingga Disember adalah masa untuk industri perabot lebih giat mengambil kesempatan untuk mengeksport produk sedia ada secepat mungkin dan kita yakin ia akan mendatangkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Satelit Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), di sini semalam.

Advertisement

Zuraida juga menyifatkan potensi perabot negara adalah tinggi dengan Amerika Syarikat merupakan destinasi utama eksport iaitu hampir 50 peratus.

“Walaupun kita bersaing dengan Vietnam tetapi Amerika Syarikat masih lihat Malaysia sebagai pembekal perabot yang berkualiti tinggi, kemas dan mengikut cita rasa mereka,” katanya.

Menyentuh isu pekerja asing yang menjadi kebimbangan syarikat-syarikat perabot, beliau berkata, KPPK sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi meleraikan perkara tersebut.

Advertisement

“Pengambilan pekerja asing diletakkan di bawah kategori perusahaan dan bukan di bawah KPPK. Oleh itu, kita akan minta laluan atau pengecualian untuk KPPK bagi menguruskan pengambilan pekerja dalam bidang komoditi khususnya industri kayu kayan atau perabot,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Pejabat Satelit MTIB dan MTC, Zuraida berkata, kemudahan tersebut berperanan untuk menyelaras isu-isu industri perabot kepada kira-kira 700 pengusaha di daerah Muar yang juga Bandar Perabot Malaysia selain menggalakkan penggunaan automasi dan inovasi dalam industri perkayuan.

Untuk rekod, Johor menyumbang sejumlah 69 peratus nilai eksport perabot kayu pada tahun lepas dengan 46 peratus daripada disumbangkan oleh Muar.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top