BM | EN | 中文

‘NEGARA MAJU PERLUKAN LEBIH RAMAI TENAGA PAKAR’

Solihan-Badri-1.jpg

ISKANDAR PUTERI, 26 SEPT: Penghasilan tenaga pakar, terutamanya dalam bidang kejuruteraan, adalah elemen penting yang menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Johor, Solihan Badri.

Beliau berkata ini adalah bagi memastikan segala bentuk pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan bersesuaian dengan ekosistem komuniti semasa.

“Tumpuan terhadap bidang penyelidikan dan pembangunan merupakan salah satu agenda yang penting bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.

“Daya inovasi yang tinggi menjadikan sesebuah negara itu selangkah ke hadapan berbanding pesaing atau negara lain,” katanya dalam ucapan perasmian penutup pertandingan model jambatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Pertandingan yang dimulakan sejak 23 September lalu menyaksikan acara pembinaan model jambatan, dimana setiap kumpulan disediakan kit untuk pembinaan jambatan skala-model.

Anjuran Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA), Fakulti Kejuruteraan UTM, program tersebut mengalakkan pelajar menggunakan pengetahuan dan kreativiti untuk menyelesaikan masalah selain memperluaskan pengetahuan dalam reka bentuk praktikal.

Solihan berkata pertandingan seumpama itu secara tidak langsung menyuntik semangat generasi muda untuk meningkatkan kemahiran sendiri disamping menyumbang kepada pembangunan negara.

“Model-model yang disediakan bukan sahaja boleh dijadikan sebagai alat untuk menghubungkan sesebuah penempatan, malah boleh dijadikan sebagai medium untuk menarik pelancong,” katanya lagi.

Beliau juga berharap penganjuran program tersebut dapat mencungkil bakat serta menjadi titik tolak dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar yang boleh menyumbang kepada masyarakat dan khususnya pembangunan negara.

 

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top