BM | EN | 中文

Nasib pelajar kejadian langgar lari dapat perhatian JKM Johor

Nasib-pelajar-langgar-lari-dapat-perhatian-JKM-Johor.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 11 DIS: Penderitaan yang dialami seorang pelajar kolej, Muhammad Israf Izzuddin Arbain,17, yang tidak boleh bergerak selepas menjadi mangsa kejadian langgar lari bulan lepas sehingga patah kaki kirinya, mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Zaiton Ismail berkata, JKM Johor akan menyalurkan bantuan yang bersesuaian dengan keperluan Muhammad Israf dan keluarga pelajar terbabit.

Beliau berkata antara bantuan yang boleh disediakan seperti menyediakan kos keperluan susu khas dan elaun kepada ibunya bagi menjaga pelajar itu yang kini hanya mampu terlantar di atas katil.

Advertisement

“JKM juga akan membantu membuat kad orang kurang upaya (OKU) yang dilihat tidak boleh bergerak dan mengalami kecederaan selepas kemalangan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar itu di Taman Cahaya Masai di sini semalam.

Kejadian langgar lari di Desa Rakyat di sini pada 3 Nov lepas itu mengakibatkan Muhammad Israf yang merupakan pelajar Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) patah kaki kiri, selain mengalami kecederaan serius pada tempurung kepala yang turut dipercayai menyebabkan dia hilang ingatan.

Difahamkan kos penjagaan bulanan Muhammad Israf menjangkau hampir RM2,000 bagi keperluan membeli susu khas, lampin pakai buang, dan sebagainya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top