BM | EN | 中文

Nanas Moris tak dapat dijual libat pekebun tak berdaftar – Pengerusi LPNM

Nanas-Moris-tak-dapat-dijual-libat-pekebun-tak-berdaftar-Sahruddin-Jamal.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 FEB: Isu pasaran buah nanas jenis Moris yang dikatakan tidak dapat dijual di Johor melibatkan pekebun-pekebun yang tidak berdaftar, sekali gus menyebabkan perkara itu berada di luar pengetahuan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), kata Pengerusinya Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata pihaknya memandang serius perkara itu yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di daerah Batu Pahat, Kluang dan Pontian.

“Kita bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah ambil langkah proaktif dengan membuat pemantauan awal terhadap pekebun di lapangan dan menawarkan inisiatif bantuan pasaran kepada pekebun terjejas dengan pembelian oleh pihak FAMA dan pemadanan bersama pihak kilang pengetinan.

Advertisement

“Namun begitu, terdapat pekebun yang terus berusaha menjual sendiri nanas Moris mereka untuk mendapatkan lebih margin keuntungan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi LPNM pada Ahad.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab isu tersebut yang tular berserta dakwaan kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangani masalah berkenaan.

Beliau juga berkata antara punca masalah itu ialah pembatalan pembelian oleh pihak pemborong sedangkan buah berkenaan merupakan pengeluaran berjadual.

Advertisement

Permintaan terhadap nanas itu juga berkurangan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan segmentasi masakan seperti majlis kenduri, restoran dan perhotelan terjejas, katanya.

Pada masa sama beliau menyeru pekebun yang mengalami masalah pasaran agar menyalurkan masalah mereka secara terus kepada LPNM bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan dengan segera.

Sebarang aduan serta pertanyaan juga boleh dilakukan melalui sistem e-maklumbalas LPNM di www.mpib.gov.my/fms atau melalui Facebook rasmi LPNM.

Advertisement

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang pekebun di Pontian tidak dapat menjual kira-kira 4,000 biji nanas Moris kerana pasaran yang tidak memberangsangkan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top