ISKANDAR PUTERI, 9 JAN: Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) berhasrat untuk melatih para pemilik hotel bajet di seluruh Johor untuk lebih terampil bagi menggamit lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Pengerusi MyBHA cawangan Johor, Jarod Chia berkata, ini kerana perkhidmatan itu mempunyai potensi besar di negeri ini, lebih-lebih lagi dengan ketibaan Tahun Melawat Johor 2020 (TMJ 2020) dan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Jarod Chia
Menurut Jarod, terdapat kira-kira 280 pemilik hotel bajet di negeri ini yang berdaftar dengan MyBHA dan usaha perlu dibuat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan tersebut.
“Tahun ini tahun yang istimewa kerana ada Tahun Melawat Johor 2020, dan sekarang adalah peluang untuk para pemilik hotel bajet meningkatkan kualiti fasiliti dan perkhidmatan mereka.
“Kita mahu memadam persepsi orang ramai sebelum ini yang memikirkan bahawa hotel bajet berkelas rendah kerana hotel bajet bukan begitu.
“Sebenarnya banyak hotel bajet di Johor yang sangat bagus dan berkualiti,” kata Jarod kepada Johorkini.
Malah menurut Jarod, terdapat dua hotel bajet di negeri ini yang menerima anugerah emas dari pengendali jaringan penginapan dalam talian, Agoda.
“Kita rancang untuk merakam video bagi mendidik orang awam dan menerangkan apa itu hotel bajet. Maklumat itu akan diesebarkan apabila siap nanti,” kata Jarod lagi.
MyBHA merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berperanan untuk mendidik dan melatih hotel bajet untuk meningkatkan imej dan kualiti mereka.
JohorKini