Sebelum berkunjung ke bumi China ini, saya mengagak tentu susah untuk mendapatkan bekalan makanan halal. Lalu, banyak bungkusan mee segera dibawa sebagai persiapan menghadapi kesulitan yang bakal ditempuhi.

Daging kambing mentah boleh dibeli di sebelah masjid Huaisheng
Tidak sampai seminggu berada di sini, saya sudah diperkenalkan dengan kedai-kedai makanan halal. Semuanya terletak berhampiran dengan masjid-masjid sekitar Guangzhou. Jadi, bekalan mee segera saya hanya dimanfaatkan apabila bahan masakan sudah kehabisan.
Bukan sahaja ada restoran Muslim, terdapat juga pasar mini Muslim yang menyediakan pelbagai pilihan barangan dapur. Daging dan ayam halal boleh didapati di sini. Banyak juga produk luar dari Malaysia, Indonesia dan tanah Arab diimport untuk diniagakan di sini.
Jika anda ke Guangzhou, jangan lupa berkunjung ke masjid Huaisheng. Bertentang dengannya, terdapat sebuah restoran Muslim Uyghur. Di sini jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan kebab kambing.

Kedai runcit Islam dengan tanda halal bertentangan dengan masjid
Kebab di sini berbentuk seperti sate, tidak sama dengan kebab Malaysia. Jika mahu merasa masakan lain, tunjuk sahaja pada gambar yang terpapar di menu.
Walaupun tulisan pada menu tidak difahami, gambarnya mampu membuat kita terliur. Harga juga terpampang pada gambar bagi memudahkan kita mengira bajet.
Memang kebanyakan restoran atau warung makan di sini dibuka oleh orang Uyghur. Mereka adalah bangsa Muslim majoriti di Xinjiang yang berhijrah ke Guangzhou untuk mencari rezeki dengan berniaga. Jadi, kebab kambing biasanya dijadikan menu hidangan. Saya difahamkan daging kambing ini adalah kambing gurun Xinjiang. Apabila diperap dengan rempah ratus dan dipanggang, rasanya sungguh menyelerakan.

Kurma dan kuih muih antara pilihan juadah untuk dibeli
Pada satu hari, kawan-kawan saya membawa pulang sebuku roti yang dibeli di kedai berhampiran rumah mereka. Saya tidak berapa lapar untuk menjamahnya berbanding kawan-kawan yang lain. Ada yang memakannya dengan jem dan serunding yang dibawa dari Malaysia.
Tiba-tiba seorang rakan yang cekap berbahasa Mandarin bercakap, “Eh, roti ini tak halal.” Orang lain semua tersentak lalu bertanya , “Roti keping pun ada babi ke?”. Memang tiada sesiapa menyangka roti pun menggunakan babi dalam pembuatannya.
Rakan yang membelek kandungan ramuan roti tadi terus menunjukkan kepada kami tulisan ini 猪油 (zhu you) yang bermaksud minyak babi. Roti itu rupa-rupanya dibeli di kedai roti Cina bukan Muslim. Yalah, masing-masing menyangka roti kosong tidak mungkin ada unsur babi. Sebab itulah mereka membelinya di kedai itu.
Semenjak daripada kejadian itu, saya tidak lagi makan roti buku. Saya sudah menjumpai roti halal buatan orang Islam di sini. Cuma rotinya mirip roti Arab atau roti naan. Ia boleh dibeli pada hari Jumaat di perkarangan luar Masjid Huaisheng selepas solat Jumaat. Suasana waktu itu seperti di pasar malam. Jualan paling laris mestinya kebab kambing yang dikerumuni orang ramai.
Seperti biasa saya pasti menyandang beg kecil apabila keluar dari rumah. Di dalamnya terdapat sebuah buku nota kecil dan sebatang pen. Perkataan ‘zhu’ iaitu babi sudah ditulis besar-besar supaya saya tak tersilap langkah apabila menyemak kandungan bahan makanan yang dibeli.
Buku nota kecil ini sangat berguna kepada saya selaku orang asing. Banyak panduan dicatat selain perkara-perkara baru yang memerlukan pencarian lanjut. Apabila bertemu orang baru, butiran dirinya dan fakta perbualan juga dicatatkan.
Dengan cara inilah saya dapat mengenali sebuah masjid lain yang lokasinya agak tersembunyi. Bahkan rakan-rakan Melayu yang tinggal di sini lebih dua tahun pun tidak pernah mengetahuinya.
JohorKini