BM | EN | 中文

Muhyiddin umum gabungan baharu Gabungan Rakyat Sabah

muhyiddin_hajiji_rahman_PRN_Sabah.jpg

Gambar Ehsan Daily Express

TUARAN, 12 SEPT: Presidem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan parti disertai Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Beliau berkata nama gabungan itu digunakan secara rasmi selepas 26 September ini jika berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Katanya, gabungan itu akan bekerja sebagai pasukan untuk membentuk kerajaan negeri baharu yang berjuang untuk memajukan Sabah.

“Semalam kita duduk bersama parti yang sudah sepakat berjuang untuk rakyat Sabah yang kita bela dan majukan. Saya nak umumkan bahawa keputusan dicapai untuk menamakan gabungan parti yang akan bersama perjuangan Pusat iaitu Gabungan Rakyat Sabah.

“Kami semua bersatu hati untuk bekerja sama-sama membentuk kerajaan selepas 26 September ini. Dalam gabungan ini pertamanya adalah PN bersama BN dan PBS (Parti Bersatu Sabah),” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian di pejabat Bersatu Tuaran, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Muhyiddin berada di Tuaran bagi memberi semangat kepada calon PN DUN Sulaman sambil melakukan tinjauan mesra di pekan ini.

Katanya, setiap parti dalam gabungan itu perlu mengenepikan perselisihan atau perasaan lama yang boleh menjejaskan gabungan.

“Kita perlu saling membantu antara satu sama lain, kita mesti bekerjasama dengan UMNO, PBS, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA.

“Jadi maknanya gabungan parti ini sudah satu hati kerana tidak mungkin boleh membentuk kerajaan kalau PN saja menang. Gabungan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah sajalah yang boleh membentuk kerajaan yang kuat di Sabah.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan supaya Sabah ini kita bangunkan lebih pesat lagi. Kalau Sabah dipimpin oleh gabungan ini tentu jauh lebih hebat berbanding Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Katanya, tiada parti lain dapat menandingi gabungan itu selagi PN mentadbir Kerajaan Persekutuan yang dipimpinnya.

Sehubungan itu, katanya Sabah juga mesti diperintah oleh kerajaan yang sama.

“Ini kerana masih banyak usaha kita perlu lakukan. Pembangunan menang sudah banyak tetapi belum cukup dan perlu diperelokkan lagi,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top