BM | EN | 中文

Muhyiddin terus terbelenggu dengan ‘kluster mahkamah’ – Khaled Nordin

khaled_nordin.jpg

JOHOR BAHRU, 12 FEB: Naib Presiden Umno Khaled Nordin membidas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menurutnya “terus terbelenggu” dengan kluster mahkamah.

Khaled berkata, ini menunjukkan Bersatu tidak mempunyai sebarang tawaran menjelang PRN Johor.

Menurut Khaled, tiada individu yang dikaitkan dengan “kluster mahkamah” – iaitu pemimpin Umno yang berdepan perbicaraan di mahkamah – bertanding dalam PRN itu.

“Dia terus terbelenggu dengan kl’uster mahkamah…Sedangkan negara telah jauh bergerak kehadapan, mencari kestabilan, memulih ekonomi dan mencipta masa depan.

“Saya kasihan benar dengan presiden Bersatu ini. Benar-benar dia ketandusan kecerdasan. Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah keran dibayangi ‘kluster mahkamah’.

“Rupa-rupanya penglibatan Bersatu dalam PRN Johor hanya untuk menentang ‘kluster mahkamah’. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, Muhyiddin berkata satu-satunya cara untuk menghalang ‘kluster mahkamah’ daripada kembali berkuasa adalah dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor.

Terdahulu, Khaled dilaporkan Malaysiakini berkata, Muhyiddin tidak sepatutnya melibatkan pengundi di Johor dalam perseteruannya dengan tokoh tertentu.

“Apa yang lagi pelik ialah tiada seorang pun yang dia gelar ‘kluster mahkamah’ itu bertanding di Johor atau ada kena mengena dengan pentadbiran negeri,” katanya lagi.

Dia mendakwa Muhyiddin kini terdesak setelah disingkirkan daripada jawatan perdana menteri, serta Bersatu yang tewas dalam PRN Melaka dan tidak bertanding dalam PRN Sarawak.

“Karma talkin dia terhadap Umno kembali menghantui Bersatu. Semuanya ciptaan diasendiri, bukan orang lain,” kata Khaled.

‘Kluster mahkamah bukan isu PRN Johor’

Dalam pada itu, seorang lagi tokoh Umno, Annuar Musa turut menyangkal perkaitan antara ‘kluster mahkamah’ dengan PRN Johor.

Bekas setiausaha agung Umno itu berkata mereka yang mengaitkan PRN Johor dengan golongan pemimpin Umno tersebut mempunyai agenda peribadi yang boleh menglirukan pengundi.

“Tidak jelas, dari mana datangnya isu memberi kuasa kepada kluster Mahkamah? Ia tidak lebih dari satu percubaan menyekat kebangkitan rakyat untuk bersama Umno dan BN.

“Soal kluster Mahkamah bukan isu Johor, malah bukan sama sekali isu PRN Johor, Melaka, Sabah, Sarawak atau mana mana negeri. Itu isu individu, persoalan undang-undang dan proses mahkamah.

“Masalah individu dan urusan yang berkaitan undang-undang dan proses mahkamah juga tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memperjudikan nasib rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Selain Muhyiddin, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan turut membangkitkan perkara itu, dengan berkata PRN Johor dicetuskan oleh “kluster mahkamah” dalam Umno.

Malah Wan Saiful berkata tidak mustahil lebih banyak PRN akan dicetuskan selepas Johor.

“Mungkin kluster mahkamah semakin terdesak dan merasakan bahawa satu-satunya cara untuk lari dari penjara ialah dengan merobek pemisahan kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata PRN Johor perlu disambut oleh pengundi Johor demi kemajuan dan kesejahteraan negeri.

“BN dan jentera pilihan rayanya tidak akan mudah tersasar dengan provokasi yang bertubi-tubi terhadapnya. Umno dan BN akan terus memberikan fokus kepada rencana untuk memajukan Johor,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top