Oleh: Siti Nursyahidah Abu Bakar
PONTIAN, 7 NOV : Pasangan warga emas di Parit Mentol, Rambah di sini terharu dengan kunjungan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun di rumah mereka hari ini.
Muhyiddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri serta Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar meluangkan masa kira-kira 20 minit bertanyakan khabar Salleh Dahlan, 88, dan isterinya, Jenab Zaman yang berusia 100 tahun.
Menurut Salleh, kehadiran dua pemimpin itu amat menggembirakan mereka.
“Sudah tentu kami rasa gembira kerana tak pernah lagi menteri datang ke rumah kami.
“Syukur, Alhamdulillah masih ada yang mengingati kami,” katanya kepada JohorKini.
Bercerita mengenai kehidupan mereka, Salleh berkata, dia kini menguruskan sendiri isterinya yang sakit tua sejak tiga tahun lalu.
“Pergerakan isteri saya agak terhad dan lebih banyak terlantar. Setiap bulan saya akan membawanya membuat pemeriksaan di hospital,” katanya yang mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan.
JohorKini