KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8, di Istana Negara, sebentar tadi.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kira-kira jam 10.30 pagi ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pagoh itu dan isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman tiba di Istana Negara pada jam 9.50 pagi.
Pelantikan Muhyiddin, 73, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan semalam berkata Istana Negara menerima senarai pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil daripada Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, selepas representasi, pada hemat Yang di-Pertuan Agong, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Muhyiddin.
Johorkini