BM | EN | 中文

MSBC puji pelancaran VTL Malaysia-Singapura

Malaysia-Singapore-Singapura-tambak-johor.jpg

Gambar Ehsan Insider

Advertisement

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBC) sangat memuji tindakan kedua-dua Kerajaan Malaysia dan Singapura kerana mengambil kira gesaan industri untuk mengembalikan semula perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura dengan pelancaran Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL).

Dalam satu kenyataan semalam, majlis perniagaan itu berkata, MSBC, bagaimanapun, mendesak kerajaan kedua-dua negara untuk mempercepatkan pemulihan perjalanan merentasi rangkaian darat di antara kedua-dua jiran yang rapat ini.

la berkata ada keperluan untuk memudahkan 300,000 pengembara yang biasa berulang-alik setiap hari dari Johor ke Singapura yang tidak mendapat kemudahan daripada pelancaran VTL yang diberikan kepada pengembara perniagaan yang mendapat vaksin sepenuhnya di antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bermula 29 November 2021.

Advertisement

“Membenarkan individu ini untuk memulakan semula pekerjaan mereka di Singapura adalah penting bukan sahaja untuk mata pencarian diri masing-masing tetapi akan meningkatkan aktiviti ekonomi yang dialu-alukan di kedua-dua Johor dan Singapura bagi merangsang ekonomi domestik yang telah terjejas sejak penutupan sempadan kita.

“Terdapat juga pertimbangan untuk membenarkan warga Singapura memasuki Malaysia atau sebaliknya untuk tempoh terhad bagi memudahkan mobiliti orang ramai dan memulihkan sektor pelancongan sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi di antara kedua-dua negara,” katanya.

Majlis perniagaan berkata ia gembira apabila mengetahui kedua-dua kerajaan, mengambil kira situasi kesihatan awam di Johor dan Singapura, turut mempertimbangkan untuk membuka semula perjalanan melalui jalan darat merentasi tambak dan di Linkedua.

Advertisement

“Hubungan perniagaan Malaysia-Singapura adalah penting bagi rantau ini dan menyambung semula hubungan di antara rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara merupakan langkah penting ketika kita menuju ke arah masa depan yang endemik,” kata Pengerusi Bersama MSBC-Malaysia Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani.

Sementara itu, Pengerusi Bersama MSBC-Singapura Dr Robert Yap berkata Malaysia dan Singapura menikmati hubungan dua hala yang erat dan pembukaan semula sempadan akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi di antara kedua-dua negara berikutan impak yang disebabkan oleh COVID-19.

MSBC telah ditubuhkan pada Julai 2004 untuk mempromosikan aktiviti perniagaan dan pelaburan di antara Singapura dan Malaysia.

Advertisement

Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) adalah Sekretariat MSBC.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top