BM | EN | 中文

MPOB sasar 492,000 pekebun kecil sawit terima sijil MSPO pada hujung 2020

Lembaga-Minyak-Sawit-Malaysia-MPOB.jpg
Advertisement

MACHANG, 9 JUL: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyasar kira-kira 492,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara mendapat sijil di bawah Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada hujung tahun ini.

Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata sijil MSPO amat penting kepada pekebun kecil sawit agar komoditi yang dihasilkan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh negara maju terutamanya di Eropah.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 62,009 pekebun kecil persendirian yang memiliki 243,666 hektar tanaman sawit dan 231,576 pekebun kecil tersusun yang mengusahakan 670,010 hektar tanaman sawit telah mendapat sijil MSPO.

Advertisement

“Pekebun kecil tersusun amat mudah untuk mendapat MSPO memandangkan mereka berada di bawah seliaan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan lain-lain.

“Bagaimanapun, bagi pekebun kecil persendirian agak sukar kerana MPOB perlu mengadakan pertemuan dan memberi penerangan kepada mereka dan ia akan dilakukan dari semasa ke semasa agar mereka juga mendapat pensijilan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom MSPO Negeri Kelantan Bersama Pengerusi MPOB di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini, hari ini.

Advertisement

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan,Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Muhtar Suhaili.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata mana-mana pekebun kecil yang tidak mempunyai sijil MSPO boleh dikenakan denda dan kompaun di bawah Peraturan 15 Akta MPOB selain boleh menyebabkan lesen mereka ditarik balik.

Beliau berkata walaupun kerajaan masih belum memutuskan jumlah denda yang akan dikenakan di bawah peraturan berkenaan kepada mana-mana pekebun kecil yang masih belum mempunyai MSPO, namun peraturan berkenaan telah bermula sejak 1 Julai lepas.

Advertisement

Menurutnya, bermula 1 Jan, 2021, MPOB akan mula memberi peringatan kepada pekebun kecil yang masih gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum kompaun dikeluarkan pada 1 Julai 2021 jika masih ingkar.

“Bermula 1 Jan, 2022 pula, sekiranya pekebun kecil masih ingkar, kita akan ambil tindakan lebih tegas termasuklah menarik lesen mereka selain memastikan kilang tidak membeli buah sawit yang dikeluarkan mereka.

“Pekebun kecil tidak perlu risau kerana kerajaan memperuntukkan sebanyak RM135 per hektar bagi menampung kos dalam usaha membantu pekebun kecil mendapatkan sijil berkenaan,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top