KULAI, 30 JAN: Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) tidak ketinggalan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi membendung penularan wabak virus Influenza A dan virus Koronavirus.
Yang Dipertua MPKu, Mohamed Shakib Ali berkata, ini termasuklah menyediakan alat pelindung diri yang bersesuaian iaitu penutup mulut dan hidung (face mask) dan hand sanitizer.
“Kedua-dua kelengkapan itu disediakan kepada kakitangan berisiko iaitu baris hadapan berikutan mereka terdedah secara langsung dengan pelanggan yang bergejala.
“Selain itu, kita turut mengedarkan risalah kepada setiap jabatan atau bahagian atau unit.
“Risalah itu sebagai mengingatkan para pekerja supaya sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer dan memakai alat pelindung diri (face mask) semasa menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Bilangan 1 Tahun 2020, di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, pihak MPKu juga melaksanakan Program Saringan Kesihatan untuk memastikan risiko penularan wabak ini dapat dicegah demi keselamatan, kesihatan dan kebajikan kakitangan.
“Sehubungan itu, adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas,” katanya lagi.
JohorKini