BM | EN | 中文

MPKu sasar peroleh cukai harta RM112 juta tahun ini, antara KPI 2020

Mohammed-Shakib-01-scaled.jpg

Mohammed Shakib

Advertisement

KULAI, 30 JAN : Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sedang dalam peringkat melengkapkan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) mereka sebelum dijangka dibentangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bulan depan.

Yang Dipertuanya, Mohammed Shakib Ali berkata, antara perkara yang termasuk dalam KPI pihak berkuasa tempatan (PBT) itu termasuklah soal cukai harta yang mana pihaknya mensasarkan memperoleh pungutan sebanyak RM112 juta pada tahun ini.

“Sasaran itu ditetapkan hasil daripada sejumlah RM101 juta berjaya diperoleh pada tahun lalu. Dalam masa sama, MPKu giat menyelesaikan tunggakan cukai harta bernilai RM22 juta yang mana hampir 85 peratus berjaya diselesaikan pada tahun lalu,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bilangan 1 Tahun 2020, di sini, hari ini.

Mohammed Shakib berkata, daripada sasaran jumlah cukai itu, pihaknya turut merancang menggunakannya sebanyak RM78.3 juta atau 69.91 peratus untuk perbelanjaan mengurus.

“Bakinya sebanyak hampir 30 peratus atau lebih kurang RM33.6 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Advertisement

“Perbelanjaan pembangunan tertinggi membabitkan belanja untuk jalan, parit dan pembentung diikuti kemudahan riadah dan taman kemudiannya pengindahan bandar dan landskap, pusat perniagaan, bangunan pejabat dan lain-lain, dewan dan balai serbaguna, pengangkutan awam serta sistem maklumat,” katanya.

Tambah beliau lagi, dari aspek kemasyarakatan dan kebajikan, pihaknya masih menyumbang 1 peratus daripada hasil cukai kepada Yayasan Sejahtera Kulai untuk menjalankan pelbagai program yang berkaitan untuk dimanfaatkan penduduk di daerah ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya turut bercadang menaiktaraf landskap dan lampu jalan membabitkan jalan protokol hingga ke sempadan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sejauh 13 kilometer yang dijangka dimulakan pada April depan.
“Penaiktarafan itu berikutan pihaknya sering mendapat aduan tentang kemudahan di situ yang berfungsi sepenuhnya. Untuk makluman projek itu sedang menunggu kelulusan dan dijangka akan bermula pada April ini.

Advertisement

“Untuk makluman juga penyeliaan jalan tersebut sebelum ini di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR), bagaimanapun MPKU mengambil alih pada 2018 dan sebaik diserahkan kami telah menjalankan kerja-kerja pembaikan sebelum ia kemudiannya kini dalam proses penaiktarafan pula,” katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top