BATU PAHAT, 31 JAN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disaran untuk menyimpan segala data berkenaan dengan tanah terbiar di negeri ini.
Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim, simpanan data berkenaan akan membantu kerajaan negeri bagi mengusahakan tanah terbiar tersebut untuk dibangunkan.
Katanya, kerugian akan berlaku sekiranya tanah terbiar tersebut tidak dibangunkan seperti pertanian yang akan mendatangkan hasil kepada ramai pihak.
“Tanah terbiar itu sekiranya diusahakan akan menjana ekonomi pelbagai pihak contoh seperti pengusaha, kerajaan dan orang ramai.
“Dalam Belanjawan Johor 2020 yang dibentangkan, sebanyak RM 1.4 juta telah diperuntukkan di bawah ‘revolusi hijau’ dan perkara ini perlu disambut baik.
“Perkara ini perlu disambut baik dan MPKK harus memainkan peranan untuk menjadi perantara di antara masyarakat dan kerajaan,” katanya.
Khairuddin berkata demikian ketika berucap semasa majlis penutupan kursus fertigasi anjuran Peladang Muda dan Peladang Kawasan Simpang Lima, di sini, baru-baru ini.
Justeru, beliau berharap peluang membangunkan tanah terbiar seperti itu dapat menarik minat orang ramai, jadi kempen serta galakan terhadap rakyat perlu diusahakan dengan lebih mampan oleh kerajaan bagi membangunkan tanah terbiar.
“Perkara ini juga mampu menjana pendapatan lebihan khususnya kepada golongan anak muda yang berminat dalam bidang pertanian untuk mencubanya.
“Selain menambahkan pendapatan kepada anak muda, MPKK juga mampu menjana pendapatan sendiri sekiranya tanah terbiar tersebut dapat dibangunkan dengan usaha bertani,” katanya yang turut memberi cadangan antara tanaman yang sesuai termasuklah herba, sayuran dengan kaedah fertigasi dan tanaman kontan yang lain.
Johorkini