JOHOR BAHRU, 2 OGOS: Ahli parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencadangkan kepada Dewan Rakyat untuk mewujudkan Prime Minister’s Question Time (PMQT) atau Waktu Pertanyaan Perdana Menteri sepertimana diamalkan parlimen di negara-negara Komanwel.
Dalam perbahasan Titah Diraja pada Isnin lalu Salahuddin berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha memartabatan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.
Menurut beliau, PMQT merupakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti perbahasan dua pemimpin negara, iaitu Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dah para ahli Dewan Rakyat.
Kata Salahuddin, sebelum ini ketika pentadbiran Pakatan Harapan, budaya MQT (Minister’s Question Time) atau Waktu Pertanyaan Menteri telah diamalkan dan sedang dipertingkatkan kepada kebiasaan PMQT atau Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
Namun, selepas pertukaran kerajaan usaha tersebut tertangguh dan mengharapkan usaha tersebut dilanjutkan oleh Speaker Dewan Rakyat yang baru.
“Speaker pada waktu itu telah diberikan pandangan oleh ahli parlimen, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan tokoh politik. Maka MQT pada hari ini menjadi sebahagian dari suara parlimen dan budaya parlimen.
“Saya berharap Speaker yang baru akan dapat terus mempromosikan dan melangsungkan hasrat (untuk) pada suatu hari esok, PMQT diadakan,” kata Salahuddin.
Tambah beliau, perubahan itu adalah salah satu dari usaha bagi menjadikan Malaysia dan Dewan Rakyat seiring House of Commons di Parlimen Britain.
“Jika kita ingin mengambil Westminster House of Commons, dalam setiap hari Rabu, dua pemimpin negara, Perdana Menteri dan ketua pembangkang berdebat tentang isu-isu negara,
“Saya berharap dalam masa yang singkat, Speaker juga akan mengambil peranan untuk menjadikan PMQT menjadi satu keyakinan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu Salahuddin berkata beliau telah mengambil tanggungjawab membangkitkan status Rang Undang-undang (RUU) Akta Suruhanjaya Parlimen yang telah dihantar ke Peguam Negara untuk disemak.
Beliau ingin mendapatkan maklumbalas sama ada RUU tersebut bakal dibentangkan dan dibahaskan di dalam Dewan Rakyat.
Kata Salahuddin melalui RUU tersebut, suatu Akta Suruhanjaya Parlimen dapat dibentuk bagi mengelakkan campur tangan kuasa politik yang melampau terhadap institusi Parlimen bertujuan menjaga kewibawaan Parlimen itu sendiri.
Johorkini