MUAR, 10 OGOS: Ahli parlimen Bakri, Yeo Bee Yin berharap kerajaan melaksanakan projek bekalan elektrik di perkampungan Orang Asli, inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Dalam kiriman di laman facebook sempena Hari Orang Asli semalam Bee Yin berkata, meskipun tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), beliau berharap projek seperti itu diteruskan.
“Saya ada bertanya sekali lagi di parlimen mengenai projek-projek tersebut baru-baru ini. Menteri mengesahkan bahawa ia akan diteruskan kerana dana telah dijamin dan perancangan telah dilakukan.
“Semoga berita ini akan membawa kebahagiaan kepada masyarakat orang asli. Kemajuan kecil seperti ini menjadikan saya ingin terus melibatkan diri dalam politik.
“Ini mengingatkan saya bahawa bidang politik boleh menjadi dorongan kepada kita melakukan kebaikan. Ia boleh memberi kesan kepada kehidupan dan generasi akan datang,” katanya.
Dalam kirimannya semalam, ahli Parlimen Bakri itu turut mengepilkan bersama gambar di salah sebuah kampung orang asli di Pahang sebelum pilihanraya umum (PRU) ke-14.
Katanya selepas beliau menerajui MESTECC, perancangan bagi pelaksanaaan 15 projek bekalan elektrik di perkampungan Orang Asli di Pahang itu telah berjaya dilakukan.
Projek menggunakan peruntukan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dilaksanakan secara berperingkat untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik di perkampungan masyarakat itu.
“Beberapa tahun kemudian, saya menjadi menteri. Sudah tentu, ketika di MESTECC, urusan orang asli bukanlah keutamaan kementerian.
“Urusan bekalan elektrik luar bandar berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Namun akhirnya kami berjaya mendapatkan dana pada tahun 2019 untuk membekalkan tenaga ke 15 kampung orang asli di Pahang, yang memberi manfaat kepada 300 keluarga. Projek akan selesai pada 2021.
“Kepada komuniti orang Asli, saya ingin sampaikan kepada anda pada hari istimewa ini ialah – anda tidak akan sendirian.
“Kami akan terus bersuara bagi pihak anda, sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Johorkini