PASIR GUDANG, 2 OKT : Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dalam usaha melahirkan graduan dan atlet yang holistik termasuk sukan dan akademik.
Kerjasama ini juga melibatkan biasiswa sukan bagi atlet yang berkelayakan dan penawaran pembelajaran peringkat diploma dalam program yang terdapat di PIS.
Menurut Pengarah MSNJ, Mohd Gadaffie Abd Aziz, memorandum ini melibatkan juga perkongsian kepakaran pembangunan sukan, pengurusan kejohanan dan teknikal.
“Dengan memorandum ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk saling memanfaatkan kemudahan dan peralatan sukan dalam institusi masing-masing.
“Kami juga akan mengenalpasti atlet sukan yang layak dalam bidang akademik untuk menyambung pelajaran di PIS,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoU berkenaan bagi mewakili MSNJ.
Manakala, PIS diwakili Pengarahnya, Rashidah Mustapa.
Difahamkan PIS merupakan politeknik pertama yang menandatangani MoU berkenaan dengan MSNJ.
Johorkini