BM | EN | 中文

Monash IVF selesai ambil alih aset, Klinik IVF Hospital Pakar KPJ Johor

monash-mivf-KPJ.jpg

MonashIVF_PMS

JOHOR BAHRU, 3 SEPT: Monash IVF Group Ltd telah menyelesaikan pemilikan aset IVF dan mengambil alih kawalan pengurusan untuk Klinik IVF Hospital Pakar KPJ Johor minggu ini.

Pemilikan aset ini dijangka dapat meningkatkan akses ke perawatan kesuburan dan membantu rawatan pembiakan untuk pesakit di Johor, Singapura dan Batam, Indonesia, kata kumpulan dalam satu kenyataan.

Sebagai perintis IVF, Monash IVF Group terus menerajui dalam kesihatan pembiakan sejak mencapai kejayaan kehamilan IVF pertama dunia pada 1973.

Kumpulan itu berkata ia akan membawa rangkaian sains dan teknologi yang lengkap ke rantau ini, termasuk ujian pengimbasan embrio pertama dunia yang boleh mengurangkan keguguran dan masa untuk kehamilan yang berjaya.

Jalinan kerjasama dengan Hospital Pakar KPJ Johor ini menandakan kemasukan pertama Monash IVF Group ke rantau Asia Tenggara, di luar daripada KL Fertility di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai kerjasama ini, ketua pegawai eksekutif kumpulan Monash IVF Michael Knaap berkata kumpulan begitu teruja untuk membawa sains dan perkhidmatannya kepada pesakit dan rantau berdekatan.

“Dengan disokong oleh pengurusan makmal dan klinik bertaraf dunia, kami dapat menawarkan rawatan kesuburan pada kadar yang berpatutan dan membantu pesakit dalam perjalanan mereka untuk mencapai impian memiliki bayi,” kata beliau.

Knaap berkata kumpulan juga berharap dapat terus mengembangkan perkhidmatannya ke rantau ini.

Pada masa ini, Monash IVF Group mempunyai 41 Klinik IVF dan Amalan Ultrabunyi di seluruh Australia dan Malaysia.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor Mohd Azhar Abdullah berkata: “Monash IVF Group dan Hospital Pakar KPJ Johor bersatu menerusi komitmen kami terhadap keselamatan, integriti, profesionalisme dan penambahbaikan berterusan dalam memberi rawatan kepada pesakit kami”.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top